[kl-bogel] Bersih ditolak, fitnah kotor disebar
Bagi pemimpin UMNO dan lidah rasmi mereka Utusan Malaysia, perhimpunan aman Bersih 2.0 yang dijadualkan pada 9 Julai ini adalah konspirasi Kristian, Yahudi, komunis, ejen asing, dan mungkin juga penjual-penjual t-shirt berwarna kuning.
Bagi mereka, Bersih tidak ada kena-mengena dengan aspirasi rakyat Malaysia yang sudah tidak tahan lagi dengan politik kotor UMNO dan Barisan Nasional dalam mengendalikan pilihan raya di negara.
Mereka menganggap rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu adalah manusia dungu yang tidak ada akal fikiran yang dengan mudah boleh dicucuk hidung oleh anasir-anasir asing.
Ia bermula dengan tuduhan Bersih dipimpin oleh seorang "ejen Yahudi", sebagaimana yang diungkapkan oleh Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali untuk menggambarkan Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan. Malah Ambiga yang juga bekas Presiden Majlis Peguam dituduh sebagai "wanita Hindu yang merbahaya".
Kemudiannya tuduhan ditokok-tambah dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP sebagai dalang Bersih.
Kemudian merebak dengan tuduhan terhadap Parti Sosialis Malaysia di mana aktivis-aktivisnya ditahan di Pulau Pinang kerana berkempen untuk Bersih Sabtu lalu, didakwa cuba menghidupkan semula fahaman komunis serta mahu memerangi Yang di-Pertuan Agong.
Semalam timbul pula laporan khas Utusan yang mendakwa "gerakan yang mempunyai kaitan dengan Kristian yang berpangkalan di luar negara dikenal pasti sebagai penyumbang dana kewangan terbesar kepada (Bersih)".
Nama-nama yang disebut adalah:
- Yayasan Konrad Adenauer (KAS) dari Jerman yang menjadi think tank kepada parti Kesatuan Kristian Demokratik;
- Yayasan Canadian Allied (?) dari Kanada; dan
- Institut Demokrat Kebangsaan (NDI) dan Institut Republikan Antarabangsa (IRI) dari Amerika Syarikat.
Lidah rasmi UMNO yang telah menghentam keromo kononnya DAP mahu menubuhkan negara Kristian Malaysia pada Mei lalu sekali lagi menyebarkan fitnah dengan membawa teori konspirasi "Kristian" untuk memecahbelahkan perpaduan rakyat.
Utusan melihat Kristian sebagai musuh di mana-mana. Kini ia cuba mengaitkan KAS sebagai ejen Kristian dalam Bersih walau pun think tank Jerman itu berprinsip demokrasi berasaskan nilai-nilai sosial Kristian serta menerima sistem politik sekular Jerman.
KAS dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Jerman, dan sebarang bentuk program yang diadakan bersama di neagra ini adalah sebahagian daripada kerjasama dua hala di antara Jerman dan Malaysia.
Antara badan-badan yang pernah bekerjasama dengan KAS adalah Malaysian Institute of Management (MIM) dan Malaysian Strategic Research Centre (MSRC) yang ditubuhkan oleh Abdul Razak Baginda.
Utusan juga seolah-olah cuba mengaitkan NDI dan IRI yang sekular dengan agama Kristian – agaknya apa-apa sahaja dari Barat itu adalah Kristian.
Tidak pasti apa sebenarnya masalah Utusan dengan agama Kristian – yang diterima sebagai salah satu agama yang dibebas diamalkan oleh golongan bukan Islam di Malaysi.
Begitu juga tuduhan yang cuba mengaitkan Bersih dengan komunisme yang tidak ada asas sama sekali. Sedangkan UMNO mempunyai hubungan yang rapat dengan parti-parti komunis dunia seperti Parti Komunis China, Parti Komunis Vietnam, Parti Komunis Cuba dan banyak lagi. Apakah rejim-rejim komunis ini boleh dituduh menjadi dalang pemerintahan UMNO dan BN?
Selepas ini, entah apa pula konspirasi yang mahu dibangkitkan oleh Utusan, UMNO dan ejen-ejen mereka demi menghancurkan apsirasi rakyat yang mahu kepada keadilan dan kebebasan.
Sedangkan tuntutan Bersih 2.0 adalah jelas dan nyata:
- Bersihkan senarai undi (di mana semua rakyat yang layak mengundi perlu didaftarkan sebagai pengundi secara automatik);
- Reformasikan undi pos (dengan membenarkan pengundi sah yang tidak dapat balik ke kawasan undi dengan alasan yang munasabah untuk mengundi melalui undi pos);
- Gunakan dakwat kekal (untuk mengelak masalah pengundi hantu);
- Akses media yang bebas dan adil (untuk memastikan media arus perdana tidak berat sebelah dan tidak takut kepada mana-mana parti);
- Tempoh berkempen minimum 21 hari;
- Kukuhkan institusi awam (dengan memastikan keadilan dan kesaksamaan Suruhanjaya Pilihan Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Polis Diraja Malaysia supaya memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi-institusi tersebut);
- Hentikan rasuah; dan
- Hentikan politik kotor.
Kerajaan BN hanya perlu tunaikan tuntutan itu. Tidak perlu ada perhimpunan Bersih jika kerajaan BN sanggup membersihkan proses pilihan raya yang sudah lama kotor dengan pelbagai penipuan, rasuah dan amalan berat sebelah.
Kerajaan BN, jika terus menang dalam pilihan raya yang bebas, adil dan bersih, akan dihormati dan disanjung oleh rakyat.
Tuntutan-tuntutan itu juga selaras dengan keadilan dan kermunian yang diajar oleh agama-agama besar termasuk Islam. Di mana cacat-celanya jika pilihan raya dilaksanakan secara bebas, adil dan bersih?
Tidak perlu maki-hamun, menimbul kegelisahan dan mencipta teori konspirasi yang hanya membuatkan rakyat semakin benci dan syak-wasangka dengan kerajaan. --You received this message because you are subscribed to the Google Groups "kl-bogel" group.
To post to this group, send email to kl-bogel@googlegroups.com
To subscribe or unsubscribe at http://groups.google.com.my/group/kl-bogel/subscribe
For more options, visit this group at http://groups.google.com/group/kl-bogel?hl=en
Sebarang email pertanyaan, hantar kepada abangmod@gmail.com
Comments
Post a Comment