Thursday, July 14, 2011

[kl-bogel] Quran dan hadis bukan lesen untuk tindas rakyat, kata Dr Asri

 Al-Quran dan hadis telah dipergunakan oleh pemerintah yang korup dan zalim serta penyokong mereka untuk menekan dan menindas rakyat.

Pakar hadis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata ada kelompok agamawan di Malaysia yang telah mengikut jejak sesetengah rejim Arab semasa yang korup dan zalim dengan membela kerajaan dalam melakukan kezaliman.

Katanya kelompok itu yang kebanyakan dari aliran salafi zahiri atau kelompok salafis literalist telah memahami nas-nas al-Quran dan hadis secara literal atau hurufiyah dengan menganggap urusan muamalat dan siyasah sama macam ibadah khusus yang tidak boleh dilakukan sebarang pembaharuan.

"Maka, mereka membida'ah kewujudan persatuan, parti politik, demonstrasi, nasyid, seni rekaan dan pelbagai lagi. Jika fatwa-fatwa mereka ini diterima, maka dunia Islam pasti akan jumud dan kehidupan manusia menjadi sempit di bawah lembayung Islam.

"Lebih dahsyat lagi, apabila aliran ini dimanfaatkan oleh para pemerintah yang korup dalam dunia Islam.

"Ini apabila kelompok ini menafsirkan hadis-hadis politik secara literal yang seakan-akan Islam memberikan 'lesen' besar kepada pemerintah untuk melanyak rakyat dan rakyat pula diikat kaki, tangan dan mulut dengan nas-nas agama dari bertindak atau membantah.

"Lebih hodoh lagi, hanya nas-nas yang 'kelihatan' pro-pemerintah sahaja yang dibaca, diforumkan, diwar-war dalam pelbagai saluran, sedangkan nas-nas yang memberikan amaran terhadap kezaliman pemerintah tidak pula dicanangkan," katanya dalam satu kenyataan.

Dr Asri yang juga bekas Mufti Perlis mengulas tentang tindakan keras yang dilakukan oleh kerajaan dan pihak berkuasa terhadap perhimpunan aman Bersih 2.0 di ibu kota pada Sabtu lalu.

Beliua memberi contoh sepotong hadis yang dijadikan hujah oleh kelompok pembela kerajaan yang lari dari maksud asal, sehingga ada yang berkata 'jika pemerintah membunuh kaum keluarga saya pun, saya tidak akan mendakwa pemerintah di mahkamah dunia'.

"Saya tidak dapat bayangkan jika semua orang Islam faham seperti itu, maka bermaharaja lelalah para pemerintah dunia Islam, menindas mereka. Tidak boleh dibantah bahkan tetap taat.

"Ketika dunia berusaha mempertahankan hak asasi manusia agar tidak dicemar, tiba-tiba kita pula menarik umat ke belakang dengan tafsiran yang literal seperti itu."

"Bayangkan jika seorang yang baru hendak mengenali Islam dihidangkan dengan kefahaman seperti itu, bagaimanakah mungkin beliau ingin melihat keindahan Islam dan keadilannya," tambahnya.

Beliau sebaliknya mempertikaikan kelompok agamawan yang tidak akur dengan hadis Rasullullah: "Sesungguhnya manusia apabila melihat orang zalim, namun tidak menghalang tangannya, hampir Allah akan meliputi mereka dengan hukumanNya" (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Nasai dengan sanad yang sahih).

Menurutnya, satu hadis tidak boleh dibaca secara berasingan tapi perlu dilihat keseluruhan secara perbandingan dengan nas-nas yang lain untuk memastikan penafsirannya tidak cacat, sebagaimana menurut ilmu Mushkil al-Hadith yang membincangkan hadis-hadis yang zahirnya kelihatan bercanggahan.

"Dalam beberapa sudut, pemimpin dunia Barat lebih amanah dan jujur kepada rakyat mereka dibandingkan apa yang ada di dunia Islam hari ini…Bahkan, dari segi keadilan, kadang-kala haiwan di negara Barat lebih dibela dari seorang Muslim yang hidup di dunia Islam; dipukul, dihina, dipenjara, bahkan dibunuh tanpa berani bersuara.

"Malang sekali jika manusia di Barat dan Timur yang tidak Muslim menentang pelanggaran hak asasi rakyat, tiba-tiba ada kelompok agama dalam Islam yang menyatakan kezaliman pemerintah dihadapi dengan diam, sabar dan taat," katanya.

Dr Asri menjelaskan bahawa Islam bukan agama yang memberikan lesen kepada pemerintah untuk berbuat apa sahaja terhadap rakyat yang dipaksa mendiamkan diri.

"Bagaimana mungkin rakyat tidak boleh membalas tindakan pemerintah melalui saluran keadilan dan tuntutan yang wajar, sedangkan dalam hadis, Nabi SAW sendiri sebagai pemerintah mengizinkan diri baginda dibalas.

"Jika pemerintah itu diberikan wewenang untuk memukul dan mengambil tanpa dipersoalkan, apakah ertinya sesuatu pemerintahan itu? Apakah mereka seperti penzalim dan perompak berlesen yang dilindungi oleh nas-nas agama?" soal beliau.

--
You received this message because you are subscribed to the Google Groups "kl-bogel" group.
To post to this group, send email to kl-bogel@googlegroups.com
To subscribe or unsubscribe at http://groups.google.com.my/group/kl-bogel/subscribe
For more options, visit this group at http://groups.google.com/group/kl-bogel?hl=en
Sebarang email pertanyaan, hantar kepada abangmod@gmail.com

No comments:

Post a Comment