Tuesday, June 14, 2011

[kl-bogel] Bersih 2.0 diteruskan walau Perkasa halang

Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 13 Jun : Pengerusi Jawatankuasa Mobilisasi PAS, Mohamad Sabu berkata, PAS tidak akan berganjak bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) untuk mengadakan himpunan besar-besaran di Kuala Lumpur, 9 Julai ini.

Katanya, biarpun kumpulan pendesak Melayu, Perkasa memberi amaran untuk menghalang, namun himpunan tersebut tetap akan diteruskan.

"Kita akan buat terus, dia (Perkasa) nak buat himpunan itu hak dia," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Presiden Perkasa, Ibrahim Ali dalam sidang media di parlimen hari ini memberitahu pertubuhan itu akan melawan habis-habisan himpunan Bersih 2.0 itu.

Sambil menyifatkan himpunan itu sebagai "mengacau", Ibrahim turut memberi amaran akan membuat himpunan serupa bagi menghalang himpunan Bersih 2.0 tersebut walaupun terpaksa berlaku pertembungan.

Ibrahim, yang juga ahli parlimen Pasir Mas, juga mendakwa himpunan Bersih itu akan menimbulkan huru hara apabila ada pesertanya membaling batu dan membakar kereta.

Membidas kenyataan Ibrahim itu, Mohamad yang juga Timbalan Presiden PAS berkata, bukan Perkasa yang menentukan himpunan tersebut huru-hara atau tidak.

"Itu kerja polis la nak tentukan aman atau tidak. Datuk Ambiga (Pengurusi Bersih), sudah beri jaminan kita akan buat himpunan secara aman," katanya.

Beliau turut memberi contoh himpunan Bersih pertama pada 2007 lalu, menyaksikan himpunan berlangsung secara aman.

"Perkasa kalau nak buat juga himpunan, buat hari lain la, kita dah cadang tarikh ni lebih awal lagi," katanya.

Declare perang fizikal

Seorang lagi AJK Bersih, Dr Mohd Hatta Ramli menyifatkan tindakan Perkasa memberi amaran mahu bertembung dengan peserta himpunan Bersih sebagai tidak wajar.

"Kita tak pernah halang Perkasa nak berhimpun. Tapi berhimpun lah untuk memperjuang hak sendiri, bukan sebab nak halang kita semata-mata.

"Ini sudah declare perang secara fizikal. Bukan begini caranya, ini cara pengganas," katanya.

No comments:

Post a Comment