[Mcm2Ada] SPM 2011 tanpa Interlok
Percayakah anda jika saya katakan bahawa tidak menjadi apa-apa masalah sekiranya novel "Interlok Edisi Murid" (DBP: 2010) tidak digunakan langsung oleh calon SPM yang bakal menduduki peperiksaan kertas Bahasa Malaysia pada 14 November 2011?
Ya, saya tahu bahawa sebaik membaca perenggan di atas, ada pihak yang mungkin sudah mengasah parang dan ada yang sudah menyebarkan mesej meminta saya ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Hal ini tidaklah menghairankan kerana apabila Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) mengeluarkan kenyataan media pada 17 April lalu kerana kecewa dengan sikap Kementerian Pelajaran yang mengatakan bahawa Kamus Dewan hanya milik orang Melayu, seorang individu bernama "Subari Ahmad" mengeluarkan kenyataan di Facebook: "… hantar saja si dia tu ke ISA kerana cuba menggugat ketenteraman rakyat".
Rakannya yang bernama "Wan Asyeah Wan Nawang" pula menyatakan sokongan: "Sudah naik tocang rupanya dia. Elok juga dikenakan ISA. Ini negara kita MALAYSIA bukan INDISIA".
Apabila saya katakan bahawa novel "Interlok Edisi Murid" boleh sahaja tidak digunakan sebagai teks Komsas pada tahun ini, jangan pula ada pihak yang menuduh saya cuba menutup pintu rezeki Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain (Pak Lah).
Sila ambil perhatian bahawa sama ada novel ini digunakan atau tidak digunakan sebagai teks Komsas pada tahun ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tetap wajib memberi royalti sekitar RM50,000 kepada Pak Lah pada tahun ini.
Segala "kesilapan" yang menyebabkan timbul kontroversi berhubung novel edisi murid itu adalah tanggungan penerbit, bukan pengarang. Maka, royalti tetap perlu dibayar bagi sekitar 390,000 naskhah yang dicetak pada 2010.
Dari mana saya mendapatkan angka royalti RM50,000 yang perlu dibayar oleh DBP kepada Pak Lah bagi tahun ini? Mudah sahaja!
Semasa "Dialog Novel Interlok" anjuran Persatuan Penulis Nasional (Pena) di Rumah Pena pada 8 Januari lalu, penulis veteran, Dr Ilias Zaidi yang juga sahabat lama Pak Lah "mendedahkan" bahawa apabila novel "Konserto Terakhir" dijadikan teks Komsas Tingkatan Lima (2001-2010), Pak Lah mendapat honorarium melebihi RM500,000.
Memandangkan "Interlok Edisi Murid" juga dijadikan teks Komsas Tingkatan Lima (2011-2020), maka jumlah royalti pastilah hampir sama; iaitu sekitar RM50,000 setahun.
Suka saya tegaskan, Pak Lah masih layak menerima wang itu pada tahun ini walaupun berlaku keadaan di mana novel "Interlok Edisi Murid" yang dicetak pada 2010 tidak akan digunakan di sekolah.
Sekali lagi, jangan melenting membaca frasa "tidak akan digunakan di sekolah". Bertenang. Teruskan membaca.
Berikut kenyataan media Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 27 Januari lalu:
"Novel 'Interlok' (edisi murid) hanya akan digunakan setelah pindaan disiapkan dan diedar ke sekolah-sekolah. Saya percaya kita mempunyai masa yang cukup untuk membuat pindaan secara teliti supaya tidak timbul lagi sebarang pertikaian mengenai novel 'Interlok' selepas ini."
Kavyan mengalu-alukan keputusan Kementerian Pelajaran membuat pindaan kepada novel "Interlok Edisi Murid" sebelum dibenarkan dijadikan teks Komsas. Keputusan melakukan pindaan pula harus dilakukan dengan bijak supaya segala kelemahan yang ada dalam edisi murid dapat dimurnikan sepenuhnya; demikian dilaporkan di akhbar Sinar Harian pada 28 Januari lalu.
Keputusan yang dicapai pada 23 Mac adalah bahawa novel itu akan dimurnikan mengikut saranan pindaan yang diperakukan secara konsensus oleh Panel Bebas pada 4 Mac dan novel berkenaan akan dicetak semula.
Pada Jun 2011, berlaku sedikit "sandiwara" iaitu usaha menggunakan "pelekat ajaib". Kavyan menentang sekeras-kerasnya tindakan itu yang bertentangan dengan keputusan yang dicapai dan diumumkan di Dewan Rakyat pada 24 Mac.
Akhirnya, pada 22 Jun lalu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi dipetik Bernama Online berkata, "kementerian buat keputusan hari ini, untuk mencetak semula."
Pada tarikh sama, Utusan Malaysia melaporkan, "pada 28 Mac lalu, Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz dilaporkan berkata, pihaknya tidak akan mencetak semula novel itu walaupun pindaan dibuat."
Peperiksaan kertas Bahasa Malaysia SPM adalah pada Isnin, 14 November 2011. Semasa artikel ini ditulis, novel "Interlok Edisi Murid" yang dimurnikan sepenuhnya dan dicetak semula seperti dijanjikan belum dihantar ke sekolah-sekolah di Zon 2 (Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya).
Maka, ada alasan kukuh untuk "menangguhkan" penggunaan edisi baru novel itu sehingga tahun depan — dengan andaian bahawa edisi yang dimurnikan sepenuhnya dan dicetak semula sempat diedarkan menjelang akhir tahun ini. Dan dengan andaian Termuzi dilembutkan hatinya.
Sabar. Jangan tuduh saya dan Kavyan cuba mengganggu keamanan negara dan menentang pendirian Kementerian Pelajaran. Teruskan membaca.
"Panduan Lulus Komsas Zon 2" (21 Mac 2011) adalah sebuah faksyen yang menampilkan panduan kepada calon SPM 2011 bagi mendapat markah tinggi dalam Komsas.
Menerusi faksyen itu, diceritakan bagaimana calon SPM 2011 di Zon 2 menggunakan novel-novel dari zon-zon lain untuk menjawab soalan peperiksaan.
Sebelum ada pihak mengangkat parang (atau keris) dan menyarankan saya ditahan di bawah ISA, biar saya nyatakan bahawa idea dalam "Panduan Lulus Komsas Zon 2" tidak bertentangan dengan pendirian Kementerian Pelajaran (KPM).
Kalau tidak percaya, cuba teliti Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2009 bertarikh 25 November 2009 daripada Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia kepada semua Pengarah Pelajaran di Jabatan Pelajaran Negeri.
Saya petik kandungan yang berkenaan daripada surat pekeliling itu:
"Pengagihan novel adalah mengikut zon. Walau bagaimanapun, kelonggaran diberi kepada pihak sekolah untuk memilih judul novel yang bersesuaian bagi murid sekolah berkenaan."
Maka, tidak menjadi kesalahan (atau dosa) sekiranya sekolah-sekolah di Zon 2 tidak menggunakan novel "Interlok Edisi Murid" pada tahun ini.
Alasan paling kukuh adalah bahawa novel yang dimurnikan sepenuhnya dan dicetak semula sebagaimana dijanjikan Kementerian Pelajaran masih belum diserahkan kepada pelajar.
Mungkin ada pihak yang mengatakan bahawa terlalu lewat untuk meminta guru-guru dan pelajar di Zon 2 menggunakan novel-novel dari zon-zon lain.
Tolong jangan pandang rendah kemampuan dan intelektualiti para guru kita! Tolong jangan sangka guru-guru kita hanya layak melakukan kerja-kerja menampal "pelekat ajaib" pada 9 halaman novel "Interlok Edisi Murid" cetakan 2010!
Saya yakin bahawa guru-guru di Zon 2 mempunyai kepakaran, semangat, kebolehan dan ilmu untuk membantu pelajar Tingkatan Lima khatam novel "Kembara Amira" (Zon 1), "Sutera Dalam Lukisan" (Zon 3) atau "Kabus Di Perbukitan" (Zon 4) dalam tempoh sekitar dua setengah bulan berbaki sebelum SPM.
Paling tidak, apa gunanya buku-buku panduan menjawab soalan Komsas yang berlambak dalam pasaran?
* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.
You received this message because you are subscribed to the Google Groups "kl-bogel" group.
To post to this group, send email to kl-bogel@googlegroups.com
To subscribe or unsubscribe at http://groups.google.com.my/group/kl-bogel/subscribe
For more options, visit this group at http://groups.google.com/group/kl-bogel?hl=en
Sebarang email pertanyaan, hantar kepada abangmod@gmail.com
Comments
Post a Comment