Monday, August 1, 2011

[Mcm2Ada] Sekolah sebagai alat integrasi atau pecah-perintah? – Oleh Adil Mat Selamat

http://roketkini.com/wp-content/uploads/2011/07/kanak-kanak-sekolah-pix.jpg

 Kewujudan sebuah negara bangsa yang mengamalkan satu dasar pendidikan yang melangkaui sempadan warna kulit, bahasa pertuturan dan budaya merupakan satu cita-cita yang paling besar.

Namun, adakah dasar dan pendekatan kita (baca: kerajaanUMNO-BN) dalam aspek pendidikan, benar-benar ingin membawa aspirasi itu? Jika jawapannya datang dari UMNO-BN, pastilah 'ya'.

Tetapi kita menyanggahnya atas beberapa fakta yang menjadi bukti bahawa dasar pendidikan kita tidak akan menuju kepada satu kewujudan sebuah negara bangsa, sebaliknya digunakan sebagai alat atau mekanisme pecah-perintah oleh kerajaan yang sudah di hujung usia ini, iaitu UMNO-BN.

Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini mendakwa kononnya kerajaan Perikatan dahulu telah membuat satu keputusan yang betul dengan mewujudkan sekolah aliran bahasa mengikut kaum iaitu Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil/Cina.

Secara zahirnya, tampak permukaannya, memang kita akui idea ini mampu 'membeli' hati dan mimpi indah rakyat mengikut satu-satu kaum, hal ini kaum Cina dan India.

Malah kaum Melayu, khususnya yang mendukung UMNO sebagai wadah perjuangan politik, turut  merasa 'selamat' kerana sekolah 'mereka" – sebenarnya Sekolah Kebangsaan untuk semua kaum – dianggap teguh tanpa gangguan kaum lain.

Kesan pendidikan pecah-perintah

Membaca politik permukaan memang semuanya indah dan baik belaka. Tetapi apa yang telah berlaku selepas lebih dari 50 tahun dasar ini dilaksanakan?

Adakah anak-anak kita, malah diri kita sendiri, yang lahir dari sistem ini sangat tinggi idealismenya? Atau sekadar bakal menjadi produk-produk niaga kerajaan UMNO-BN?

Dalam pergaulan sehari-harian, jika seorang warganegara Malaysia dari kaum Cina atau India tidak fasih atau tidak tahu berbahasa Melayu, apa akan orang Melayu katakan kepada insan seperti ini?

Penulis sendiri pernah mendengar sindiran orang Melayu apabila bertemu seorang India atau Cina yang seperti ini. Jika tidak diketawakan pun, sudah tentu ada yang diperli keras, "kalau tak reti cakap Melayu, balik negerilah". Dan ungkapan ini, sudah sering benar terjadi.

Siapa yang salah selain individu itu sendiri?

Bukankah ganjil, ada orang Melayu mahu kaum Cina dan India belajar dalam sekolah jenis bahasa mereka, dan kemudian jika mereka tidak fasih berbahasa Melayu, maka mereka dikutuk. Tidakkah sikap ini mencerminkan kejahilan sang pengutuk itu?

Bagi seorang politikus atau menteri, adakah setiap tindakan atau keputusannya tidak akan mengambil kira kesan politik bagi diri dan parti mereka? Sudah pasti ini sesuatu yang amat mustahil.

Sejauh mana pertimbangan politik bagi insan-insan yang berkuasa ini?

Sistem satu aliran?

Ada juga didengar cadangan supaya wujud sekolah satu aliran sahaja. Mari pertimbangkannya, sama ada ia bernas atau tidak.

Cuba kita lihat apakah faedahnya jika hanya ada satu aliran sekolah sahaja, dan tumpukan kepada isu bahasa sahaja. Semuanya harus bermula dari sekolah rendah.

Bayangkan sekolah ini mengamalkan dasar wajib mempelajari tiga bahasa, iaitu Bahasa Malaysia sebagai bahasa asas dan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua Inggeris, dan pilihan ketiga sama ada Tamil atau Mandarin (Cina).

Di Sabah, bahasa ketiga diberi pilihan di antara Kadazandusun dan Mandarin manakala pilihan di antara Iban dan Mandarin diberi untuk Sarawak.

Setiap pelajar tanpa mengira kaum dan agama wajib mempelajari kedua-dua bahasa itu, termasuk anak-anak Melayu sendiri, sama ada di Semenanjung atau di Sabah dan Sarawak.

Untuk tidak menafikan peluang mana-mana pihak, pilihan keempat juga boleh ditawarkan tetapi ia tidak perlu menjadi mata pelajaran wajib.

Juga tidak timbul masalah penguasaan bahasa jika dimulakan seawal mungkin kerana kanak-kanak dalam usia muda di sekitar enam atau tujuh tahun mudah 'menangkap' bahasa, asalkan pendekatan pelajaran dan pendidikan kena pada tempatnya.

Murid-murid ini akan belajar dalam kelas yang sama, sekolah yang sama dengan perkongsian pelbagai budaya. Kepelbagaian budaya harus didedah di peringkat rendah lagi, justeru itu tidak akan timbul isu bahasa atau budaya kaum mana yang akan terpinggir.

Ini penting kerana biasanya perkauman bermula apabila pelajar lebih selesa berkumpul atau lepak bersama rakan-rakan dari kalangan pengguna bahasa yang sama. Dari situ akan bermula prasangka kaum yang merebak kepada kebencian yang sebenarnya tidak ada sebarang asas – semata-mata berbeza penggunaan bahasa dan berlainan warna kulit.

Dengan sekolah satu aliran, mungkin dari aspek pentadbiran, pengurusan sistem, malah Persatuan Ibu Bapa dan Guru akan senantiasa berasaskan tolerenasi dan kefahaman antara kaum, agama, budaya dan disiplin pelajaran. Bukankah ini lebih mendekati pada konsep 1Malaysia?

Yang Melayu tetap Melayu, yang Islam tetap Islam, yang lain tetap dengan kelainannya. Itu keindahan perpaduan dalam kepelbagaian. Titik penyatuannya adalah semangat sebagai warga Malaysia yang berkongsi hidup dalam sebuah negara.

Peluang mengenali antara satu sama lain

Bagi kaum Melayu, inilah peluang mereka untuk mempelajari bahasa Mandarin atau Tamil. Begitu juga dengan anak-anak kaum Cina dan India. Mereka tidak perlu menukar budaya kerana berbeza sekolah.

Amalkanlah budaya dan cara kita tersendiri dalam komuniti yang besar ini. Semua kaum ini adalah 1Keluarga. Tidak perlu malu, sebaliknya belajar menghormati secara praktis.

Tetapi apa akan jadi dengan SRJKC/T? Dirobohkan atau dimusnahkan? Sudah tentu tidak. Ia hanya terserap menjadi sekolah satu aliran. Dan, bajet membuat sekolah 'jenis' ini boleh digunakan untuk membangunkan sistem, pentadbiran dan latihan kepada semua guru-guru.

Tentu syaratnya juga perlu serius. Sistem yang ada sekarang perlu rombakan besar-besaran. Pengambilan pelajar untuk maktab perguruan serta universiti yang menawarkan kursus perguruan perlu berasaskan kepada merit, dan tidak boleh lagi bergantung kepada warna kulit dan kepercayaan agama.

Jika kerajaan Perikatan dahulu mengamalkan dasar ini, sudah pasti murid-murid, termasuk kita dan ibu bapa kita, yang keluar dari sekolah satu aliran itu mengusai sekurang-kurangnya tiga bahasa sekali gus.

(Dalam pada itu pun, sudah ramai kaum Cina dan India serta kaum-kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak yang menguasai tiga bahasa walau pun berbeza sistem persekolahan – hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih)

Apabila pelajar yang menguasai tiga bahasa memasuki kolej dan universiti, sudah pasti tradisi keilmuan itu akan lebih hebat. Bukan sahaja bahan-bahan rujukan serantau serta sebenua dapat dibaca dan ditelaah, malah perbezaan budaya dan kepercayaan agama dapat difahami antara satu sama lain yang bakal menjadi teras penyatuan dan jati diri 'bangsa Malaysia'.

Berakhirkah perkauman?

Jika ini berlaku, parti-parti politik yang ditubuh dan berjuang berasaskan kaum seperti UMNO, MCA dan MIC, tentu tidak akan mendapat tempat di hati masyarakat. Malah parti-parti ini bersama kumpulan-kumpulan kaum seperti Perkasa akan menjadi tukun di dasar laut, tenggelam dan berkarat.

Isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) juga mungkin tidak akan menjadi apa-apa isu lagi.

Cuma berhati-hati sedikit adalah unjuran 'sekolah satu aliran' di kalangan kumpulan kaum yang sebenarnya lebih berniat untuk menafikan kewujudan SRJKC/T daripada mewujudkan satu sekolah yang mengajar pelbagai bahasa dengan guru-guru pelbagai kaum yang cekap dan pakar dalam bahasa masing-masing.

Kerana itulah, walau pun indah cadangan satu aliran, ia sentiasa menimbulkan kecurigaan di kalangan kaum bukan Melayu. Sama seperti kedudukan ironi Bahasa Melayu – orang Melayu mahu semua rakyat mengamalkannya tetapi ada Melayu yang enggan 'membebaskan' Bahasa Melayu untuk menjadi bahasa semua kaum.

Maksudnya, dari tafsiran orang Melayu seperti ini, Bahasa Melayu itu adalah milik Melayu dan semua yang lain harus dipaksa menggunakan bahasa ini. Keadaan ini menimbulkan kegelisahan di kalangan bukan Melayu, yang turut menjadi alasan sesetengah mereka yang 'malas' belajar dan berinteraksi dalam Bahasa Melayu.

Suasana ini juga perlu diubah dan menjadi pra-syarat sebelum sekolah satu aliran pelbagai bahasa dapat dilaksanakan.

Cadangan ini hanyalah impian peribadi penulis. Ia bukan pandangan rasmi mana-mana parti politik. Malah ia bukan percubaan untuk melobi mana-mana pihak. Ia hanya idea seorang penulis yang ingin melihat anak-anak kita bersatu hati berjiwa merdeka tanpa menjadi mangsa pecah-perintah UMNO-BN.

--
You received this message because you are subscribed to the Google Groups "kl-bogel" group.
To post to this group, send email to kl-bogel@googlegroups.com
To subscribe or unsubscribe at http://groups.google.com.my/group/kl-bogel/subscribe
For more options, visit this group at http://groups.google.com/group/kl-bogel?hl=en
Sebarang email pertanyaan, hantar kepada abangmod@gmail.com

No comments:

Post a Comment