Tuesday, August 2, 2011

[Mcm2Ada] Hindarkan Penggunaan Kad Kredit

Posted by Wan Kamarul Ariffin Wan Ahmad
Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,

1. Semoga Tuan dan Puan sentiasa berada keadaan sihat walaifiat selalu dan sentiasa dikurniakan dengan keberkatan rezeki dengan melimpah ruah setiap masa. Saya ingin memetik laporan Utusan Malaysia pada 19 Januari 2011 bertajuk 'Maybank Sasar 500,000 Pemegang Kad Kredit'. Dalam kenyataan laporan ini, Maybank mensasarkan penambahan setengah juta pemegang kad kredit untuk tahun 2011 dengan pelancaran produk terbaru iaitu Maybankard 2 Cards. Maybank 2 Cards adalah tawaran bagi pemilikan dua kad kredit, American Express dan Mastercard dengan had kad emas ialah RM30,000 dan kad platinum pula ialah RM60,000.


2. Daripada kenyataan laporan akhbar Utusan Malaysia ini, kita boleh melihat pihak bank sekarang ini melancarkan kempen secara agresif kepada penduduk Malaysia ini supaya menggunakan produk keluaran kad kredit mereka dengan pelbagai faedah dan keistimewaan seperti rebat hotel, pelancongan, mata ganjaran dan sebagainya untuk mengaburi orang ramai supaya menggunakan kad kredit mereka. Oleh itu, janganlah kita mudah termakan pujuk rayu pihak bank ini. Biarkan pihak bank membuat promosi sahaja dan kita hanya melihat sahaja. Jika boleh jangan melihat promosi yang dibuat. Bimbang jika jiwa tergoda.

3. Pada hakikatnya, kita yang sudah terkongkong akan mendongkol jika terus mendaftar menjadi pelanggan setia mereka untuk menggunakan perkhidmatan kad kredit mereka dengan membayar ansuran pada setiap bulan. Sebenarnya, kad kredit membawa pulangan keuntungan yang paling besar kepada bank setiap tahun berbanding dengan pinjaman-pinjaman lain. Ini kerana caj yang dikenakan ke atas baki kini kad kredit setiap bulan dengan kadar 1.5% sebulan atau 18% setahun merupakan keuntungan yang diraih oleh bank. Berbanding dengan pinjaman lain seperti pinjaman peribadi, ia dikenakan kadar faedah yang tetap pada setiap tahun dengan tempoh pembiayaan tertentu. Wang pendapatan anda yang diterima setiap bulan akan dihadiahkan kepada pihak bank untuk membayar caj selagi mana hutang kad kredit masih belum habis. Itu baru 1 kad kredit. Bagaimana pula dengan 4 atau 5 kad kredit? Alangkah malangnya...


4. Bagaimana sekiranya anda sudah terperangkap dengan hutang kad kredit? Pertamanya, anda perlulah menganalisa hutang kad kredit anda terlebih dahulu. Kenalpasti hutang kad kredit yang manakah paling rendah. Ini supaya 'jiwa' anda lebih bersemangat untuk membebaskan dari kemelut hutang apabila hutang kad kredit pertama sudah habis dibayar. Cara yang lain ialah membuat 'balance transfer' iaitu pemindahan baki hutang ke bank lain dan jumlah keseluruhan kad kredit anda menjadi satu dan kad kredit lama anda ditutup. Ia menawarkan kadar faedah tertentu yang lebih rendah dengan tempoh tertentu. Cara yang lain melalui pinjaman peribadi kerana kadar faedahnya adalah rendah sekiranya anda ingin menutup semua lubang-lubang kad kredit anda. Jika anda anak emak, anda boleh meminjam wang daripada keluarga anda untuk melangsaikan semua hutang-hutang anda kerana anda langsung tidak dikenakan sebarang kadar faedah. Benar bukan?

5. Seterusnya, wajarkah kita menggunakan kad kredit jika masih tidak menggunakannya? Anda bertuah sekiranya anda masih belum menggunakan kad kredit termasuk diri saya sendiri. Saya melihat ramai di luar sana pada awalnya bercadang untuk menggunakan kad kredit untuk tujuan keperluan asas seperti mengisi minyak kereta sahaja. Kemudian, kad kredit digunakan untuk membeli-belah di pasar raya serta membeli itu dan ini. Niat asal untuk digunakan keperluan asas sahaja sudah tersasar sehinggakan menggunakan kad kredit sehingga melebihi had. Nasi sudah menjadi bubur. Kemudian menyesal mengenang nasib dan langkah seterusnya ialah mengambil pinjaman peribadi untuk menutup lubang-lubang hutang kad kredit. Itulah kebiasaan yang dapat dilihat.

6. Bila hutang kad kredit akan habis sekiranya anda asyik terus menggunakannya dari semasa ke semasa? Oleh itu, kita perlu bijak mengawal penggunaan kad kredit dan berusaha membebaskan diri kita dari belengu hutang-piutang. Apa salahnya sekiranya menyimpan duit terlebih dahulu sebelum membeli sesuatu barangan yang mahal. Jangan penuhi keperluan dan kemahuan anda dengan kad kredit. Kelak jiwa yang merana. Katakan tidak kepada kad kredit. Wallahua'lam.

Sekian, terima kasih.

--
You received this message because you are subscribed to the Google Groups "kl-bogel" group.
To post to this group, send email to kl-bogel@googlegroups.com
To subscribe or unsubscribe at http://groups.google.com.my/group/kl-bogel/subscribe
For more options, visit this group at http://groups.google.com/group/kl-bogel?hl=en
Sebarang email pertanyaan, hantar kepada abangmod@gmail.com

No comments:

Post a Comment