[kl-bogel] FELDA: Peneroka berhutang tanpa penyata yang telus .. kasihan
Tuesday, 26 April 2011
KUALA LUMPUR 26 APRIL : Setiausaha Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Zabidie Abas menyatakan peneroka Felda kini dibebani dengan pelbagai jenis hutang, termasuk hutang sara hidup tanpa diberi penyata kewangan yang telus.
Menurut Zabidie, selepas proses tanam semula hampir keseluruhan kawasan Tanah rancangan Felda berhadapan masalah tersebut dan menyebabkan peneroka menanggung beban hutang sehingga menjangkau RM70,000 hingga RM80,000 ribu.
“Dalam tempoh tiga tahun setiap peneroka diberi hutang pinjaman sara hidup RM1,500 setiap bulan. Apabila masuk tahun ke empat, peneroka sepatutnya tidak ambil bantuan sara hidup sebagai hutang.
“Bagaimanapun masuk tahun ke enam peneroka masih diberi bantuan sara hidup, walhal tanaman mereka telah mengeluarkan hasil.
"Manakala penyata tahunan hutang peneroka tidak diumumkan Felda. Kemana perginya hasil pendapatan mereka? soalnya.
Kata Zabidie, keadaan itu menyebabkan peneroka yang majoritinya warga emas, terpaksa menanggung beban hutang berpuluh ribu ringgit yang disifatkan tidak mungkin dapat diselesaikan sehingga ke generasi ketiga.
“Felda diibaratkan sebagai lintah darat yang mencengkam dan menindas peneroka, pada masa yang sama merompak hak peneroka,” tambahnya.
Zabidie yang juga Pengerusi Biro Felda PKR Johor mengulas kenyataan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad yang disiar akhbar kawalan Umno-Barisan Nasional(BN), Utusan Malaysia, bahawa gesaan Anak untuk melupuskan hutang pinjaman sara diri berjumlah RM500 juta, bermotifkan politik.
Menurut Zabidie, Isa yang baru sahaja memegang jawatan berkenaan tidak mengetahui tentang masalah sebenar yang dialami masyarakat Felda sebelum ini.
“Isa tidak tahu beban hutang yang ditanggung peneroka. Kalau Felda boleh bagi penyata dengan telus, kita boleh terima,"katanya.
“Hutang sara hidup ini tidak termasuk caruman pengurusan ladang sekitar RM17,000 selepas tanaman semula seperti kos tebang, menanam benih dan sebagainya dalam tempoh tiga tahun yang tidak dikembalikan kepada peneroka.
“Sepatutnya kerajaan membela dan berpihak kepada rakyat, tetapi sebaliknya kerajaan berpihak kepada Felda,” tegasnya lagi.
Mengulas lanjut berhubung hasrat untuk menghapuskan Felda Plantations, Zabidie berkata Pakatan Rakyat serius untuk menghapuskan Felda Plantations, bagi menyerahkan semula tanah kepada generasi kedua dan ketiga Felda.
Katanya lagi, pada awalnya Felda Plantations yang membuka ladang-ladang baru di kawasan Felda menggunakan khidmat peneroka tempatan untuk menjalankan kerja-kerja ladang.
Namun lama kelamaan,Felda Plantations didakwa menggunakan khidmat pekerja warga asing sehingga menyebabkan hak generasi Felda terus dipinggirkan.
Ujarnya lagi, terdapat di kalangan peneroka yang tidak tahu bahawa mereka turut menangung kos pengurusan ladang oleh Felda Plantions, selepas pembukaan ladang-ladang baru itu.
Comments
Post a Comment