Saturday, September 3, 2011

[Mcm2Ada] Pencuci longkang, penguatkuasa PP dapat elaun khas RM150 sebulan

 Lebih 400 wira tak didendang di Pulau Pinang termasuk pencuci longkang mendapat elaun khas RM150 sebulan sebagai penghargaan kerajaan Pakatan Rakyat terhadap usaha gigih mereka menjaga keselamatan dan kebersihan negeri.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah meluluskan bayaran elaun khas itu kepada 238 anggota penguatkuasa dan 178 pekerja awam Pasukan 3D yang membabitkan perbelanjaan kerajaan negeri sebanyak RM748,800 setahun.

Pasukan 3D (dangerous, difficult and dirty – bahaya, sukar dan kotor) terdiri daripada pekerja-pekerja berpengalaman tanpa menggunakan peralatan canggih untuk membersihkan kawasan, khususnya mengeluar dan mengutip sampah yang terlekat di celah dan dalam longkang.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata elaun khas untuk tugas khas penguatkuasaan dan pencucian longkang itu diberikan untuk kakitangan Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Prai.

Katanya, kerajaan negeri sedar jasa besar pasukan 3D yang terlibat dengan kerja-kerja pembersihan longkang sehingga perlu memasuki lubang longkang bagi mengeluarkan sampah sarap dan sebagainya.

Menurutnya, kerajaan negeri juga menghargai jasa anggota penguatkuasa yang melaksanakan kerja-kerja penguatkuasaan seperti perobohan, rampasan, mengapit roda dan menunda kenderaan serta lain-lain jenis penguatkuasaan adalah terdedah kepada bahaya serta ancaman fizikal.

"Saya percaya dengan elaun khas ini tuan-tuan dan puan-puan akan berkhidmat dengan rajin, adil, penuh kesabaran dan mengikut lunas undang-undang dan berintegriti," katanya di majlis penyampaian cek elaun khas berkenaan di sini hari ini.

Guan Eng mengingatkan kakitangan awam bahawa integriti bukan sahaja melibatkan rasuah tetapi turut menekankan aspek kebijaksanaan, amanah dan tanggungjawab.

Beliau menambah, semangat berpasukan di kalangan warga MPPP dan MPSP akan menyakinkan orang awam untuk mematuhi undang-undang, baik dalam menjaga kebersihan dengan tidak membuang sampah merata-rata, atau memandu dengan bersopan agar tidak menghalang lalu lintas serta menjadi mata dan telinga menghindari jenayah.

Beliau juga menjelaskan mengenai Pelan Pengurusan Strategik MPPP yang memberi penekanan kepada bidang keberhasilan utama atau key result area (KRA) 3C dan 1R iaitu cleanliness, congestion, crime dan revenue – kebersihan, kesesakan, jenayah dan hasil negeri.

Untuk mencapai matlamatnya, MPPP serta semua pihak yang bertanggungjawab perlu bekerjasama untuk:

* Meningkatkan keceriaan, keindahan dan kebersihan bandar;

* Menerapkan amalan budaya menyelenggara kemudahan awam dengan lebih berkesan;

* Melaksanakan program bandar selamat;

* Mencari penyelesaian untuk mengatasi masalah-masalah pengurusan lalu lintas;

* Memperkukuhkan kedudukan hasil Majlis; dan

* Meningkatkan sistem penyampaian Majlis supaya perkhidmatan yang disediakan adalah yang terbaik kepada rakyat.

Turut hadir di majlis itu ialah Ahli Exco Negeri Chow Kon Yeow dan Yang Dipertua MPPP Hajah Patahiyah Ismail.

--
You received this message because you are subscribed to the Google Groups "kl-bogel" group.
To post to this group, send email to kl-bogel@googlegroups.com
To subscribe or unsubscribe at http://groups.google.com.my/group/kl-bogel/subscribe
For more options, visit this group at http://groups.google.com/group/kl-bogel?hl=en
Sebarang email pertanyaan, hantar kepada abangmod@gmail.com

No comments:

Post a Comment