Sunday, September 18, 2011

[kl-bogel] Orang Melayu Myanmar.

http://www.ibnuhasyim.com/2009/06/orang-melayu-myanmar.html

CATATAN PERJALANAN: MYANMAR 1
Antara rumah Melayu tepi laut di Kampung Melayu 'Dua Batu'..

Salah sebuah masjid di pekan 'Pulau Dua' atau 'Victoria Point'. Di belakangnya macam nenara masjid juga, tetapi rumah ibadat orang Buddha.

Gambar di pelabuhan Ranong Thailand, menuju Myanmar.

SEMALAM selepas menulis pemberitahuan mengenai kemungkinan tidak dapat hadir berceramah di Tanjung Karang Selangaor, jam sudah hampir pukul 10 malam waktu Myanmar, kedai internet yang saya guna dah nak tutup. Saya terpaksa keluar dari situ.

Teringat saya tengahari tadi, waktu mula-mula sampai di Pulau Dua atau Victoria Point dalam daerah Kawthoung, sebuah semenanjung Selatan Myanmar. Semasa berada di pejabat imigresen membuat laporan, pegawainya memberitahu.. "Kami terpaksa simpan paspot anda.. dan anda kena tinggal di hotel yang ditetapkan, yakni cuma boleh di dua buah sahaja di sini. Tidak boleh keluar jauh dari kawasan ini (sekitar 3 kilometer sahaja)." katanya.

"Bagaimana kalau saya nak ke Yangon?" Saya tanya.

"Tak boleh.. kena ada visa khas. Kena minta permit profesional. Kena ada jaminan syarikat perniagaan di sini.."

Saya nak jimatkan masa untuk pulang ke Malaysia cepat. "Sebagai pelancung pun tak boleh?"

Dia menggeleng kepala. "Tak boleh!". Tegas tapi tersenyum. Saya pun bayar wang yang ditetapkan 10 AS dolar, lalu pergi, dan selesaikan masalah hotel pula.

"Saya nak melawat saudara-saudara kita yang beragama Islam! Di mana mereka?" Saya tanya seorang pemandu motosikal tambang. Dia seorang Myanmar beragama Islam. Menurutnya, dia berketurunan bangsa Pusto-Myanmar, yang masuk Islam di zaman remaja puluhan tahun lalu berkahwin dengan gadis Melayu warga Myanmar. Dia pernah bekerja di Malaysia dan pandai bahasa Malaysia, dia memilih nama Muhammad Yusof.

"Jom kita pergi ke kampung Melayu 'Dua Batu'!" Sebenarnya batu ke 2, tetapi begitu sebutan orang di sana. Dari pekan itu kami bertolak dengan motosikal melalui jalanraya hingga ke batu 2 itu, kami turun bukit arah pantai menyusup di celah-celah rumah orang Melayu. Macam rumah-rumah tradisional lama orang Kedah. Berselerak, tidak teratur di atas pasir putih pantai. Melintasi beberapa kawasan perigi tempat mandi, ramai wanita-wanita dan gadis sedang mandi berkemban. Macam budaya orang Melayu di Malaysia dulunya. Tak sampai hati saya nak ambil gambar.. malu.

Apabila mereka tahu saya orang Malaysia, ramai-ramai tunggu di muka pintu rumah masing-masing. Belum sempat saya beri salam, mereka beri salam dulu, dengan senyam ajak naik ke rumah. "Mai minum kopi dulu!" kata mereka dalam bahasa Melayu loghat Kedah atau Satun, selatan Thai.

Saya pun singgah di salah sebuah rumah. Rumah itu berbumbung dan dinding dari atap nipah. Makin ramai yang datang berkumpul. "Ada berapa rumah orang Melayu di sini?"

"Kira-kira 100 buah.. Semuanya Melayu beragama Islam! Hidup ikut budaya orang Melayu. Ajak la kawan-kawan dari Malaysia mai jenguk-jenguk tenguk kami ni!" Jawabnya.

Saya tanya lagi, "Banyak ke lagi kampung Melayu macam ni di Pualau Dua ni?"

"Lebih dari sepuluh kampung!". Begitulah mesranya mereka.. kerana bertemu sesama Islam yang berjauahan dan satu turunan pula. Akhirnya kami berpisah.

"Jom kita ke kampung Melayu yang lain pula. kita jumpa pemimpin dan tok guru mereka pula!" Pelawa Mohd Yusof pemandu motosikal tambang itu.

Ibnu Hasyim Catatan Perjalanan
alamat e-mail: ibnuhasyim@gmail.com
Pulau Dua Selatan Myanmar
Jun 28, 11.10 pagi waktu Myanmar.

--
You received this message because you are subscribed to the Google Groups "kl-bogel" group.
To post to this group, send email to kl-bogel@googlegroups.com
To subscribe or unsubscribe at http://groups.google.com.my/group/kl-bogel/subscribe
For more options, visit this group at http://groups.google.com/group/kl-bogel?hl=en
Sebarang email pertanyaan, hantar kepada abangmod@gmail.com

No comments:

Post a Comment