Monday, September 19, 2011

[kl-bogel] Mengenali Tunku Aziz – Bahagian Pertama

http://roketkini.com/wp-content/uploads/2011/09/pix-for-tunku-1.jpg

Dalam satu wawancara dengan wartawan Roketkini, Amaluddin Zhafir dengan Tunku Abdul Aziz Ibrahim, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP ini telah berkongsi pengalaman beliau yang sedikit sebanyak menyelami kehidupan lampau beliau dan sedikit pandangan politik beliau.

Dilahirkan pada tahun 1934, Tunku Abdul membesar di zaman perang dunia kedua, mengaharungi hidup beliau dengan pelbagai rencam kehidupan.  Menceritakan sejarah beliau pra-Merdeka, seperti menyelami dan dapat merasai kehidupan beliau dan kesengsaraannya sendiri.

Tunku seorang yang mahir berbicara, tutur katanya lembut, penuh makna dan sindiran, dan jenaka. Masih lagi sedikit dengan pelat Kedah beliau, Tunku seperti kebanyakan pemimpin utama DAP, adalah seorang yang rendah diri. Umpama resmi padi, makin berusia, makin menunduk.

Zaman pendudukan Jepun

"Pada tahun kelahiran saya, ayah saya ditukar ke Kuala Nerang sebagai OCPD Kuala Nerang. Tunku Abdul Rahman juga waktu itu jadi Deputy District Officer Kuala Nerang. "Dari situ, kedua-dua mereka dipindahkan ke Langkawi, Tunku DO Langkawi, ayah saya OCPD.

"Ayah saya tak sampai setahun ditukar balik ke Alor Setar dan ke Gurun pada 1937 dan tinggal di sana sehingga mulanya perang Jepun," ceritanya dengan kadang-kadang merenung kembali kehidupan beliau di waktu itu.

Sambung Tunku, "Ketika perang sudah betul-betul hampir, saya kecil lagi masa tu. Dok nampaklah askar-askar British bersiap naik ke Jitra sebab Jitra adalah barisan depan pertahanan.

"Terusan Wan Mat Saman masa tu mana ada jambatan. Yang ada cuma yang orang Melayu kita buat dengan batang nyior dan kemudian guna batang pinang. Jadi, masa dekat nak perang, askar British buat jambatan. Jadi luaslah, banyak kenderaan boleh masuk, keluar.

"Masa perang tu, ketika British kalah di Jitra, Alor Setar juga sudah jatuh, mereka turun ke Gurun. Gurun adalah barisan kedua pertahanan. Sebelum Jepun sampai ke Gurun, dalam masa 24 jam, Jitra yang dah jatuh. Sampai Gurun, kononnyalah, di situ British hendak perang dengan Jepun.

"Seperti di Jitra, di Gurun pun begitu. Tetapi 24 jam sebelum Gurun diserang, baru British bebaskan polis dari bertahan. Sebelum tu, polis kena bertugas. Dan bila dilepaskan itulah, turun ke Kulim dan dari Kulim turun ke Bandar Baru.

"Waktu itu, semuanya turunlah bersama. Termasuk keluarga-keluarga, termasuk Sultan, semua ikut pergi sebelah selatan Kedah. Lepas tu dan Jepun masuk dia dah pergi turun lagi lah sampai Ipoh, Slim River, Kuala Lumpur…"

Menurut Tunku, dua atau tiga minggu selepas itu, semua pegawai kerajaan dikerah untuk bertugas kembali. Bila mereka pulang ke rumah masing-masing, habis berlubang kediaman dek peluru.

Padang kawad polis pula dipenuhi dengan tinggalan topeng gas, senapang-senapang, bren gun, machine gun dan lain-lain. Malah, maya-maya masih bergelimpangan di kawasan itu.

"Setakat yang saya ingat, lebih kurang seminggu lebihlah baru mayat orang yang mati dalam perang diubah. Bila diubahkan mayat-mayat itu, rumput-rumput dah jadi kuning. Jadi, kita boleh nampaklah outline kuning tinggalan mayat-mayat tu.

"Ramai yang terkorban. Kebanyakan yang mati itu askar British lah tetapi kebanyakaannya British Indian Army yang terdiri dari Gurkha, Bengali, Sikh, dan Islam dari Baluchistan… Mereka ni sebahagian dari British. Itu tahun 1941," jelasnya mengakhiri nostalgia zaman perang.

Zaman persekolahan

"Saya betul-betul belajar adalah adalah selepas perang, barangkali ketika umur saya 11 tahun. Saya masuk Kolej Sultan Abdul Hamid. Saya ambil Special Malay Class. Saya di kolej itu sampai tahun 1949. kemudian pindah ke Klang.

Tunku menjelaskan di Klang High School, beliau sangat aktif – menjadi pengawas sekolah, kapten pasukan ragbi, pemain bola sepak sekolah, pengarang untuk majalah sekolah dan turut aktif sebagai setiausaha kelab debat.

"Maksudnya saya sangat-sangat aktif. Bukan semata-mata nak belajar saja," katanya menyambung, "Kemudian tubuhkan Young Malayans Club, yang diarahkan oleh seorang guru besar orang putih. Jadi dia keluarkan satu akhbar untuk pelajar, namanya Young Malayan, dalam bahasa Inggerislah."

Atas dorongan guru besar Tunku, F.J. Rockliff, warga Australia, beliau disarankan menyambung pelajaran di Liverpool kerana menurut guru besarnya, beliau aktif dengan ragbi.

"Bila balik jadi guru," kata Rockliff  kepadanya, "Kita boleh ajar budak-budak main ragbi."

"Jadi, dia cadangkan dan saya diberi biasiswa dihantar pergi ke maktab perguruan Kirkby di Liverpool iaitu pada tahun 1954. Saya di sana selama dua tahun. Saya kembali dalam September 1956, setahun sebelum merdeka. Jadi masa tu, pejabat Pelajaran tanya, mana tempat suka untuk pergi mengajar.

"Waktu itu, saya dok tengok, orang ramai nak pergi mengajar ke pekan-pekan besar. Tetapi, saya minta nak pergi ke kawasan pantai timur, sebelah Pahang, Kelantan dan Terangganu kerana saya fikir, kerajaan dah bagi satu peluang yang besar dapat latihan di England lagi. Jadi masa tu, saya fikir saya kena bagi balik kepada negara kita, lagi pun, macam pantai timur ni, macam Kelantan, Pahang, Terangganu ni, masyarakat Melayu masa tu keadaannya cukup teruk.

"Sekolah pun kekurangan. Jadi saya rasa itulah tempat yang saya boleh tolong bantu kepada budak-budak Melayu kita. Keadaan di sana juga bukan menyenangkan sangat. Masa tu kalau nak mandi kena turun ke sungai, bukan macam sekarang.

"Ya, saya memang suka buat kerja di sana," ujarnya bersemangat.

Bagi Tunku, sebagai rakyat yang dibantu kerajaan, beliau ada rasa tanggungjawab membantu kembali kerajaan.

"Macam sekarang, kita tengok budak-budak dapat biasiswa, dapat pinjaman, dah kerja pun masih tak bayar. Kita kena ada tanggungjawab. Kita dah terima pertolongan. Ini duit rakyat, jadi kalau kita tak bayar, orang lain tak dapat peluang, tak cukup duit," jelasnya.

Selepas habis kontrak lima tahun oleh Kirkby College sebagai guru, Tunku mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran di Universiti Tasmania di Australia untuk mengambil jurusan Sains Politik dan Sejarah.

Mengamal ilmu yang ditimba

"Ini pasal politik… Kita merdeka dan sebelum itu pun orang Kedah pun dah ramai… Tengoklah kebanyakan yang jadi orang penting siapa dia? Orang Kedah seperti Tunku Abdul Rahman, Khir Johari, Encik Senu. Ini semua orang Kedah.

"Lagi pun, orang yang masa itu yang ada pelajaran tinggi, bukan di tempat lain, Kedah dah ada orang yang pergi Oxford dan Cambridge. Jadi memang kita punya kesedaran, nak dapatkan kemerdekaan negara kita, jadi sebab itu saya fikir waktu itu untuk belajar Sains Politik dan Sejarah.

"Sebab kalau kita tak faham sejarah kita, termasuk hikayat dan sebagainya, susahlah. Jadi masa tu lagi kita berasa kita kena berusaha," jelas Tunku panjang lebar apabila ditanya kenapa memilih Sains Politik dan Sejarah.

Di Universiti Tasmania, Tunku merupakan orang bukan kulit putih pertama yang menjadi pengarang majalah kesatuan pelajar di sana, iaitu Togatus yang masih wujud hingga sekarang.

Menurutnya, ia adalah sesuatu yang luar biasa bagi orang kulit putih di sana sehingga timbul rasa hormat terhadap anak Melayu yang boleh menulis dan menyunting Bahasa Inggeris dengan baik.

Tambah Tunku, beliau bukan kesorangan malah turut di bantu oleh sahabat baik beliau, Salleh Ben Joned, penyair terkenal Malaysia, yang ketika itu menjadi pengarang bahagian sastera majalah tersebut.

"Selepas saya balik, Salleh Ben Joned pula ganti jadi pengarang Togatus. Tengoklah, orang Melayu memang boleh pun," jelasnya.

Menyebut tentang kebolehan dan kemahiran orang Melayu, fikiran Tunku tertumpu kepada system pendidikan di Malaysia pada masa ini. Bagi beliau, pembelajaran Bahasa Inggeris amat penting untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

"Kita perlu ada semangat dan keazaman politik yang kuat untuk melakukan perubahan. Kita perlu menyusun semula sistem pendidikan dengan bersistematik."

Mengimbas kembali sistem pengajian ketika era kolonial, jelas Tunku, "Jika kita gagal dalam Bahasa Inggeris, kita akan gagal dalam semua mata pelajaran. Kenapa orang ramai perlu terima keadaan ini? Ini kerana mereka tiada pilihan dan kita juga waktu itu perlukan Bahasa Inggeris sebagai pasport untuk melanjutkan pelajaran kita, sebagai pasport untuk mendapatkan pekerjaan,"

Justeru, beliau meminta rakyat Malaysia tidak terlalu emosi berkaitan bahasa.

Rusuhan kaum 13 Mei 1969

"Masa tu saya di England. Saya pun masa tu dah habis kerja di England, dan sebelum balik saya ambil cuti dua minggu dan masa itulah mulanya tragedi itu," jelasnya sebaik diaju soalan berhubung tragedi 13 Mei 1969.

"Tetapi, walau pun saya tiada di sana, saya tahu apa yang terjadi. Adik saya, Tunku Muszaffar Shah yang ceritakan kepada saya. Dia masa itu pegawai polis yang muda, masa itu jawatannya di bawah Leftenan Kolonel Syed Hamzah dari Batalion 4 Askar Melayu.

"Waktu itu, orang kata tentera dan polis tak jaga rakyat, itu tak betul. Menurut adik saya, ketika dia pergi ke Jalan Ipoh lama (di Kuala Lumpur), dia masuk bersama dua orang. Bila mereka masuk ke kawasan Cina itu, orang-orang Melayu keluar dengan parang dan pelbagai lagi senjatalah.

"Depa kata, 'bagus ini pegawai Melayu dah datang'. Tapi adik saya kata kepada mereka, 'balik' Kalau tak balik, saya akan tembak'. Selepas kumpulan Melayu itu beredar, adik saya nampak orang Cina yang menyorok di kawasan kolam bijih timah keluar seorang demi seorang.

"Awak tahu kenapa adik saya bertegas? Itu kerana mereka punya tugas. Pegawai polis harus menjaga nyawa dan harta benda rakyat tanpa mengira siapa.

"Tetapi sekarang dah lain. Macam perhimpunan aman Bersih 9 Julai lalu, polis dah jadi Hulk, dah jadi gangster," ujarnya dengan senyuman bermakna.

Oleh itu, bagi Tunku, sikap menuding jari kepada kaum lain berhubung apa-apa perkara perlu dikikis kerana setiap orang perlu berlaku adil dalam masyarakat berbilang bangsa di Malaysia. – Roketkini.com

Bahagian Kedua: Pandangan Tunku Abdul Aziz tentang UMNO, Pakatan Rakyat, DAP dan politik semasa


--
You received this message because you are subscribed to the Google Groups "kl-bogel" group.
To post to this group, send email to kl-bogel@googlegroups.com
To subscribe or unsubscribe at http://groups.google.com.my/group/kl-bogel/subscribe
For more options, visit this group at http://groups.google.com/group/kl-bogel?hl=en
Sebarang email pertanyaan, hantar kepada abangmod@gmail.com

No comments:

Post a Comment