Friday, September 9, 2011

[kl-bogel] Keintelektualan DAP wajar dicemburi dan diteladani – Oleh Zahiruddin Zabidi

http://roketkini.com/wp-content/uploads/2011/09/keintelektualan-dap-pix.jpg
 Kebelakangan ini apabila ke rangkai buku-buku besar, antara permandangan yang menarik adalah semakin banyak buku-buku seputar subjek politik, sosial, ekonomi dan budaya yang ditulis oleh para politikus.

Selain daripada buku-buku yang ditulis oleh penulis, sarjana dan pemimpin BN dan pro-nya, kelihatan juga buku tulisan daripada para pimpinan dan penulis-penulis pro-PR di rak-rak buku seperti MPH, Popular dan lain-lain.

Ini adalah satu perkembangan yang sangat baik kepada masyarakat Malaysia. Saya juga teruja apabila mendapati bahawa kebanyakan daripada buku-buku analisis politik, sosial dan budaya ini ditulis oleh para pimpinan DAP.

Sebagai contoh Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang sendiri muncul dengan karya terbarunya berjudul The Right To Differ iaitu sebuah biografi perjuangan politik beliau.

Selain daripada itu kemunculan buku rakaman sejarah dan pencerahan mengenai perjuangan DAP melalui tulisan Wan Hamidi Hamid berjudul Malaysia Milik Kita Bersama benar-benar tepat pada masanya sementelah ia dalam bahasa Melayu.

Meski pun buku tersebut mempunyai banyak kesalahan ejaan dan tatabahasa (yang boleh diperbaiki pada cetakan seterusnya), paling kurang ia menjadi medium sebaran yang sangat efektif bagi seluruh rakyat Malaysia memahami apakah DAP itu sebenarnya.

Boleh dikatakan antara parti dalam Pakatan Rakyat (PR), para pimpinan DAP boleh dikategorikan sebagai yang paling banyak menulis.

Kebanyakan pimpinan tertinggi DAP sudah mempunyai buku, malah subjek penulisan dalam buku mereka juga sangat ilmiah dan bersifat analisis mengenai isu-isu politiki, sosial, ekonomi dan budaya semasa menjadikan ia sangat berharga.

Saya sendiri pernah mendengar pujian daripada mantan mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengenai para pimpinan DAP.

Beliau memuji tahap keintelektualan mereka yang mana beliau menceritakan bagaimana saat Ketua Menteri Pulau Pinang dan beberapa ahli parlimen DAP mengajak beliau makan tengahari bersama, antara lain perbincangan mereka adalah mengenai tulisan Dr Asri sendiri.

Ini menunjukkan betapa DAP dan para pimpinannya sangat menekankan nilai keintelektualan selain daripada idealis dalam perjuangan bertunjangkan falsafah dan ideologi sosial demoktratik mereka.

Namun sayangnya masih ada halangan-halangan bagi rakyat Malaysia keseluruhannya bagi mendapatkan bahan-bahan primer ini kerana beberapa faktor. Antaranya adalah, kebanyakan para pimpinan dan penulis DAP menulis dalam bahasa Inggeris.

Saya yakin ini bukanlah kerana mereka tidak fasih dan mahir menulis dalam bahasa Melayu, malah sesetengah daripada mereka menulis dengan sangat baik dalam bahasa Melayu seperti Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong.

Dalam konteks semasa di Malaysia, boleh dikatakan tahap kebolehbacaan dalam bahasa Inggeris masih belum tinggi dan menyeluruh dalam kalangan rakyat Malaysia.

Saya berpendapat alangkah bagusnya andai buku-buku terdahulu dan terkini yang mahu dihasilkan oleh DAP dapat diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

Saya juga yakin dengan sedikit perubahan ini, kesedaran masyarakat umum terhadap siapakah dan apakah DAP akan lebih meluas.

Ia juga akan memberikan kredit dan persepsi positif bahawa DAP adalah sebuah parti yang berpegang teguh kepada Perlembagaan Malaysia sekaligus menyahkan fitnah-fitnah seteru DAP bahawa ia adalah parti komunis dan perkauman yang anti Islam dan anti Melayu.

Kelahiran Roketkini.com mungkin menjelaskan kepentingan ini penerbitan dalam bahasa kebangsaan ini. – Roketkini.com

Penulis adalah editor dan penulis buku di sebuah syarikat penerbitan di ibu kota

--
You received this message because you are subscribed to the Google Groups "kl-bogel" group.
To post to this group, send email to kl-bogel@googlegroups.com
To subscribe or unsubscribe at http://groups.google.com.my/group/kl-bogel/subscribe
For more options, visit this group at http://groups.google.com/group/kl-bogel?hl=en
Sebarang email pertanyaan, hantar kepada abangmod@gmail.com

No comments:

Post a Comment