Thursday, September 22, 2011

[kl-bogel] Hulubalang Rao guna racun katak puru tumpaskan British

Hulubalang Rao guna racun katak puru tumpaskan British
Oleh Mohd Azis Ngah

2010/08/10 - Bharian
Tiga senjata rahsia dicipta perangi tentera penjajah dalam hutan

Bahagian ketiga:

SESUAI dengan latar belakang sebagai askar upahan, hulubalang Melayu Rawa (Rao) sebenarnya mempunyai strategi khas menentang tentera penjajah British yang diakui mempunyai keupayaan serta kelengkapan perang menggunakan senjata moden senapang dan meriam.

Tentera Rao cuma bersenjatakan kelengkapan tradisional parang, keris, lembing, panah yang cuma mampu menangani asakan tentera British melalui pertempuran jarak dekat. Daripada situlah bermula idea bagaimana mereka mampu menahan asakan British melalui 'senjata rahsia'.

Mereka memulakan dengan perangkap tali kabung yang dikategorikan sebagai pertahanan atas, buluh tajam beracun pada bahagian pertengahan dan katak puru sebagai pembunuh di tanah. Jika diteliti, semua senjata itu berkait rapat dengan sumber alam semula jadi di sekeliling mereka.

Pada satu aspek, ia juga berkait dengan kebijaksanaan menggunakan racun biologi, cuma pada ketika itu mungkin istilah sains belum ditimbulkan.

Generasi ketiga Hulubalang Ali, Khalip Yaacub, 63, berkata berdasarkan kisah lisan keturunannya, senjata khas itu berjaya memerangkap askar British dan tentera upahan mereka terutama ketika perang di hutan.
Menariknya, katak puru atau nama saintifiknya bufo bufo diakui mempunyai racun tetapi haiwan kecil itu biasanya berdiam diri dan tidak mengganggu manusia, tetapi akan menyerang mangsa apabila berada dalam kesakitan melampau.

Situasi itulah yang digunakan tentera Rao dengan memanipulasi keadaan dan kesakitan katak puru. Mereka pakar membuatkan katak itu 'naik minyak' dan dilemparkan ke dalam kawasan tentera lawan.

Ketika itu, katak puru berkenaan akan menyerang sesiapa saja yang berhampiran dan mengakibatkan maut.

"Orang Rao tahu katak puru memang berbisa tetapi susah hendak menyerang mangsa kalau tidak terdesak. Jadi, mereka paksa katak puru naik minyak dengan melumur cili padi yang ditumbuk ke badannya. Apabila sudah pedas dan hangat kena cili, tentu katak akan mengeluarkan bisa.

"Sebelum perang, pahlawan Rao mengumpulkan banyak katak puru dan tumbuk cili padi dalam bekas. Apabila hampir saat hendak menyerang, katak dimasukkan ke dalam bekas besar, digoncang supaya cili hancur menyerap ke dalam badan katak," katanya.

Katak puru yang naik minyak dan beracun akibat kepedasan akan dilontar ke dalam kubu askar British dan laluan mereka terutama di kawasan hutan.

Bagi memastikan askar British berhenti agak lama di sesuatu laluan, tentera Rao menggunakan senjata tali kabung beracun yang cukup halus dan sukar dilihat pada mata kasar. Tali itu direntang separas muka dan badan orang dewasa.

Jika terkena tali kabung beracun itu, mangsa akan kesakitan serta terasa sangat gatal dan bak kata Khalip, kalau sudah terkena, pasti terduduk.

"Kalau sudah terduduk, maknanya mereka menempah maut kerana ketika itulah katak puru akan menyerang," katanya.

Ditanya kenapa tali kabung halus itu berbisa, jawabnya mudah: "Orang Rao belajar daripada pengalaman dan menggunakannya dalam kehidupan."

Katanya, memang tali kabung itu tidak berbisa tetapi jika direndam dengan air bercampur bisa, kesannya adalah sama, cuma tali kecil itu digunakan sebagai perangkap.

Bahan racun dan bisa tali kabung itu sebenarnya menggunakan campuran ikan seluang yang diperap dalam keladi birah atau nama saintifiknya Dieffenbachia bausei atau nama lain Dumb Cane, Leopards yang mudah ditemui di sungai atau kawasan paya.

Keladi birah yang mempunyai ubi yang sebesar tembikai muda mempunyai air di dalamnya.

Pokok keladi ini berwarna hijau lembut kekuningan, berbintik hijau tua dan putih, manakala daunnya hijau gelap. Getahnya diakui boleh menyebabkan penyakit mulut dan sukar bercakap.

Pada ubi keladi itu ditebuk lubang kecil yang boleh memuatkan ikan seluang sebesar ibu jari lelaki dewasa dan diperam sekurang-kurangnya dua minggu.
Ikan seluang hancur bercampur air ubi keladi akan menjadi racun yang boleh mengakibatkan gatal keterlaluan.

Ketika itulah, tali kabung yang dicantum panjang dicelup ke dalam lubang ubi keladi berkenaan sebelum direntang di hutan. Orang yang mengendalikannya juga perlu mengelak daripada terkena tangan atau kulit.

"Bisanya boleh sampai ke tulang dan memang tiada ubatnya. Seluruh badan akan gatal dan kesakitan," katanya.

Racun sama digunakan untuk mencelup buluh runcing kecil yang diracik halus dan biasanya akan diletakkan di pokok besar di hutan. Rasionalnya cukup mudah, dalam peperangan, tentera biasanya akan mencari perlindungan jika diserang dan sudah tentu pokok hutan bersaiz besar menjadi pilihan berlindung.

Jika bersandar pada pokok atau tidak berwaspada melalui kawasan sekeliling pokok, mereka akan terdedah kepada racun buluh berkenaan yang bisanya sama dengan kesan tali kabung.

Jika digabung ketiga-tiga senjata sulit berkenaan, memang wujud logiknya dan banyak membantu tentera Rao menentang tentera lawan. Ketika keadaan kelam kabut dan ramai tentera lawan terkena perangkap racun, tentera Rao akan menyerang.

Apapun senjata yang digunakan, ia sebenarnya mencerminkan kecerdikan mereka menghadapi tentera lawan dengan memanipulasi sumber alam sebagai senjata sokongan. Cukup sesuai dengan status mereka sebagai tentera upahan yang bukan saja mempunyai keberanian, kekuatan diri tetapi kepandaian akal fikiran
Dicatat oleh arisel ba di 11:16 PM

--
You received this message because you are subscribed to the Google Groups "kl-bogel" group.
To post to this group, send email to kl-bogel@googlegroups.com
To subscribe or unsubscribe at http://groups.google.com.my/group/kl-bogel/subscribe
For more options, visit this group at http://groups.google.com/group/kl-bogel?hl=en
Sebarang email pertanyaan, hantar kepada abangmod@gmail.com

No comments:

Post a Comment