Thursday, September 22, 2011

[kl-bogel] Enchik: Ia sampai ketika dia telah pergi – Oleh Mazir Ibrahim

http://roketkini.com/wp-content/uploads/2011/09/Encik-1-pix.jpeg

Sekitar tahun 1982, berangkatlah Enchik sekeluarga menuju ke sebuah kawasan penempatan baru, sebuah bandar yang baru dibuka. Mereka sekeluarga meninggalkan kampung yang sudah didiami semenjak tahun 1920-an.

Perjalanan ke penempatan baru ini tidak menjanjikan apa-apa buat Enchik dan keluarganya. Hanya merentas badai tanpa mengetahui apa yang ada di sebalik ombak.

Mereka perlu berpindah kerana tanah lama yang didudukinya sudah diambil oleh tauke pembajak tanah.

Siapa Enchik

Enchik adalah nama gelaran kepada seorang insan yang punya banyak keistimewaan. Wibawanya hingga menyebabkan kaum keluarga dan sanak-saudara menggelarnya Enchik sahaja, tanpa panggilan biasa di kalangan keluarga.

Dahulunya seorang penghulu dan guru. Di kampung lamanya, seorang penghulu hidup seperti seorang menteri. Segalanya tidak pernah kurang.

Dan menjelang 1980-an, semua itu telah luput. Enchik akan meninggalkan tanah, rumah dan semua kemudahan yang dimilikinya, walau semua itu tak pernah diminta dari sesiapa pun.

Ketika Enchik berjalan keluar dan memijakkan kakinya ke titi terakhir di halaman rumah, dikalih pandangannya ke belakang melihat rumah kayu lama yang tersergam indah buat kali penghabisan. Dia tidak menangis, tetapi kesedihan itu dapat dilihat pada air mukanya.

Ramai sekali orang-orang kampung yang datang berziarah untuk mengucapkan selamat jalan kepada Enchik. Enchik masih ramah dengan senyuman sambil bersalaman dan berdakapan dengan anak-anak buahnya.

Mereka yang masih muda dan dara, semuanya memegang kemas dan mencium tangan Enchik, tangan yang pernah merotan budak-budak kampung ini.

Enchik juga mengajar tuisyen bahasa Inggeris, pada zaman 50-an dan 60-an, amat sukar untuk mencari seorang penghulu yang mampu mengajar anak-anak kampung belajar bahasa Inggeris.

Enchik antara orang kampung yang pernah mendapat pendidikan Inggeris dari peringkat bawah dan menengah, malah dia berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat Cambridge di kota Singapura, namun peluang itu tidak dapat diambil apabila ayah Enchik menghalangnya kerana tidak mahu menerima bantuan belajar dari kerajaan.

Ayah Enchik menganggap bantuan itu sebagai sedekah yang mana mereka bukan dari keluarga yang suka meminta-minta, lebih-lebih lagi jika wang itu datangnya daripada kerajaan.

Sudah menjadi semacam tabu pada masa itu, ayah dan keluarga Enchik akan menolak mentah-mentah apa-apa bantuan dari sesiapa pun untuk membiayai persekolahan. Mereka beranggapan jika mengambil wang pembiayaan itu maka maruah keluarga akan tercemar, mereka bukan keluarga peminta sedekah.

Itulah yang sempat Enchik riwayatkan kepada kami termasuk aku sebagai cucunya. Namun selepas semuanya berlalu, memang ada sedikit kekesalan pada Enchik kerana terlepas menyudahkan pengajian ke peringkat tertinggi akibat sikap keluarganya itu.

Namun ada ironi apabila Enchik menjadi penghulu, beliau masih membawa sikap ayahnya yang menolak segala bantuan dan keistimewaan yang boleh dimilikinya.

Sebagai guru dan penghulu yang amat dihormati, Enchik tidak meninggalkan walau sejengkal tanah buat anak cucunya sewaktu meninggal. Itulah Enchik – manusia bernama Idris bin Awang yang tanah tumpah darahnya di Johor.

Melangkah kaki

Walau pun kakinya tepok, langkah dan hayunan tangannya jelas sekali nampak lebih payah dari biasa, ada keberatan dalam diri Enchik. Perasaan ini dikongsi oleh semua anak-anak buahnya pada petang itu.

Zaman sekitar awal 1980-an ini, apatah lagi yang duduk bermasyarakat jauh di perusuk kampung tradisional Melayu, dengan elektrik dan paip air yang masih belum sampai-sampai, menjadikan masyarakat ini cukup kenal dan rapat. Anak-anak kecil yang sudah masuk jawi (bersunat), pasti mengenali Enchik.

Selepas ini, pasti pemergian Enchik akan memberi satu kekosongan dan dengan kekosongan ini jugalah akan terisi oleh susuk lain pula.

Wan Menah, wanita yang berumur hampir 80 tahun, orang gaji Enchik antara yang paling sedih pada petang itu. Beliau terkial-kial menuruti langkah Enchik ke motokar yang sudah sedia menunggunya.

Wan Menah ini Enchik ambil sebagai tukang masak, tukang cuci dan penjaga dapur rumah Enchik. Dia, sudah menjadi sebahagian dari keluarga Enchik.

Beliaulah yang banyak membantu menerangkan laman Enchik dengan pelbagai tanaman dan pokok bunga.Tapi kini, perpisahan tidak dapat dielakkan lagi.

Hampir lima bulan dari selepas hari perpisahan itu, Wan Menah meninggal dunia.

Rumah agam dan tanah yang telah lama Enchik diami akan dilanggar oleh jentolak. Keluarga Enchik tidak mampu berbuat apa-apa. Perubahan telah datang tanpa dapat ditahan-tahan lagi.

Tanah itu atas satu perjanjian menerusi kata-kata, khabarnya ia adalah tanah yang diperuntukan kepada Enchik selaku ketua kampung dan penerokanya, beliau sudah menetap di situ sejak tahun 20-an lagi.

Tetapi pejabat daerah sampai kesudah tidak pernah mengemukakan geran tanah kepada Enchik. Tambah lagi Enchek bukanlah jenis manusia yang suka membuka mulut apatah lagi untuk meminta.

Apabila masa berlalu, generasi baru telah lahir, maka berlakulah pertikaian ke atas tanah itu.

Namun, oleh kerana segan mahu meminta Enchik keluar dari tanah itu, maka mereka jalankan satu usaha diplomasi dengan menanam di sekeliling tanah rumah Enchek dengan pokok kelapa sawit hingga rumah agam itu tenggelam dalam semak kelapa sawit.

Enchik dengan lekas dapat memahami bahawa mereka sekeluarga mahu dikeluarkan dari tanah yang diterokanya itu. Hingga diperlakukan begitupun, Enchik tidak pernah marah, ungkit dan mengeluh. Dan pada petang itu, dia dan Atok perempuan sekeluarga melangkah pergi.

"Istana" di Bandar Baru Sari

Rumah teres yang bersimen dengan cat kapur, sangat putih. Bumbungnya beratap asbestos, ada dua bilik tidur, satu bilik air yang bersebelahan dengan dapur.

Keliling rumah itu juga adalah rumah yang sama bentuk dan siaznya. Rapat-rapat dan semuanya seragam, lamannya sekitar 15 kaki panjang dan 10 kaki lebar. Di bahagian dapur, hanya ada longkang kecil yang dalam.

Rumah kos rendah awal tahun 1980-an ini begitu comel. Harganya sekitar dua puluh dua ribu ringgit. Hanya burung layang-layang yang mungkin merasa selesa untuk tinggal di situ.

Tapi Enchik tak menunjukkan apa-apa keluhan.

Selain dari pakaian, ada sebuah kerusi, meja tulis, buku-buku dan sebuah motosikal Honda buruk berwarna kuning, itu saja harta yang dibawa ke istana barunya ini.

Dua buah perahu, gambus, biola,  lembing, keris, tempayan, lampu gas, papan hijau, dulang-dulang lama, ayam itik dan almari-almari lama, kesemua itu dihadiahkan kepada anak-anak buahnya di kampung.

Hari Jumaat, Enchik akan sibuk. Waktu pagi Enchik akan menulis, kemudian ke pasar lambak di Bandar Baru Sari membeli sayur, ikan atau daging.

Tengahari akan ke masjid, balik dia makan dan kemudian membaca. Selepas Asar dia akan menulis lagi, bila senja dia akan memberi dua tiga ekor ayamnya makan jagung kering.

Dua tiga ekor ayam ini direbankan di depan rumah, hari-hari Enchik akan mencuci lantai reban ini, jika tidak jiran tetangga akan bising sebab berbau.

Surau agak jauh, apatah lagi masjid. Waktu malam jika dibuka jendela, nyamuk akan menjadikan rumah Enchik sebagai taman untuk bermain.

Walau di pekan yang baru dibuka seperti Pekan Sari ini, nyamuk mengalahkan orang duduk di dalam hutan. Itu antara yang pernah disebut oleh Enchik.

Rumah ini tiada sistem udara pada kasau atapnya. Laman depan dan belakang tiada satu pun pokok yang boleh tumbuh merimbun seperti di kampungnya, kecuali pokok bunga dalam pasu. Ini menambah bahang dalam rumah.

Di Bandar Baru Sari, tidak banyak warung kopi. Yang lebih hanya restoran, medan selera arked MARA dan food court.

Kereta juga banyak, bagi Enchik yang menunggang motosikal tua ini, pasti akan mengganggu kelancaran lalu lintas. Kerana itu, Enchik hanya akan keluar pada hari Jumaat. Hari-hari lain, dia berkurung dalam istananya sahaja.

Malam-malam terakhir

Rutinnya masih diteruskan, pagi dan petang Enchik akan menulis. Semua tulisannya akan disimpan dalam laci meja. Cucu-cucunya tak dibenarkan mengambil dan membaca tanpa meminta izin darinya terlebih dahulu.

Akhir-akhir itu, bila malam Enchik selalu semput. Atoklah yang akan mengurut-urut belakangnya. Asma Enchik lebih kerap datang sejak dia diam di rumah simen yang berdebu ini. Jika dia sihat, Enchik akan mendengar radio sambil berkipas.

Kadangkala waktu malam selepas isyak, Enchik akan menutup lampu putih. Dia akan memasang lampu cemeni yang suram-suram cahayanya.

Dengan berbaju singlet putih, kain pelikat akan disentengkan ke paras lutut, Enchik akan membakar rokok White Horse. Asap akan berkepul-kepul menjauhkan nyamuk.

Atok pula akan bising kerana Enchik akan semput dua tiga hari selepas dia merokok, dan itulah yang biasa terjadi.

Dengan rokoknya, Enchik akan duduk di depan pintu rumah sambil melihat pemandangan langit malam yang dipenuhi bintang-bintang. Atuk walau pun merungut, tetap akan menemankan Enchik dengan secawan kopi O.

Sambil berteduh di bawah langit malam, ada satu tabiat yang sentiasa Enchik lakukan, dia akan laga-lagakan antara  gigi-giginya. Berketok-ketok bunyi gigi geraham bawah dan atasnya apabila berlaga. Ktak..ktak..ktak, bunyinya.

Empat tahun selepas Enchik meninggalkan kampungnya, dia sakit. Betul-betul gering. Inilah kali pertama dia dimasukkan ke hospital sejak dia dilahirkan pada sekitar tahun 1912.

Genap seminggu, Enchik minta dia dikeluarkan dari hospital. Doktor benarkan. Atok menemankannya dalam ambulan, hanya dia saja yang Enchik benarkan menemaninya. Anak dan cucu yang lain, akan menuruti dari belakang.

Kereta ambulan yang membawa Enchik tidak terus ke rumah, sebaliknya menyimpang jauh menuju ke kampung Enchik. Sampai di sana, hanya kelihatan ladang kelapa sawit yang hijau merimbun. Tanah luas tapak rumah dahulu sudah tiada lagi, kolam tempat Enchik mandi juga sudah dikambus.

Petang itu, Enchik dan anak cucunya hanya sempat melalui sebuah kampung yang dipenuhi dengan kelapa sawit dan kilang-kilang. Sekolah kayu beratap nipah sudah tidak ada lagi, sudah diganti dengan bangunan bersimen, bercat putih dan berdebu.

Pejabat penghulu sudah berubah menjadi kompleks yang luas. Jalan kampung sudah berturap. Sungai-sungai yang menjadi nadi kepada orang kampung berperahu dan memancing di zaman Enchik, kini  sudah bertukar menjadi longkang kecil dan bersimen.

Ketika ini, elektrik dan paip air juga sudah sampai ke kampungnya. Tapi Enchik pula telah pergi (1912-1985). – Roketkini.com

Akan datang: Kisah hidup penuh kembara Enchik

 

--
You received this message because you are subscribed to the Google Groups "kl-bogel" group.
To post to this group, send email to kl-bogel@googlegroups.com
To subscribe or unsubscribe at http://groups.google.com.my/group/kl-bogel/subscribe
For more options, visit this group at http://groups.google.com/group/kl-bogel?hl=en
Sebarang email pertanyaan, hantar kepada abangmod@gmail.com

No comments:

Post a Comment