Sunday, September 18, 2011

[kl-bogel] ‘Cinta Madinah’ terima tempias Interlok?

Uthaya Sankar SB berkarya dalam Bahasa Malaysia. Beliau adalah presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya. Selain menulis, membaca dan bercakap, beliau juga suka menonton filem.

Belum selesai isu sekumpulan penulis teks Komsas yang dianiaya, ditipu dan dizalimi beberapa penerbit, muncul pula isu lain berhubung sebuah lagi teks Komsas.

Saya mendapat tahu pada minggu lalu menerusi catatan rakan-rakan di Facebook bahawa novel "Cinta Madinah" karya Abu Hassan Morad dibatalkan kontrak walaupun edisi murid sudah sedia untuk dicetak dan diedarkan ke beberapa negeri di Pantai Timur untuk kegunaan pelajar Tingkatan Tiga mulai 2012.

Apabila saya meminta komen rakan-rakan, Hariani Ibrahim dari Tawau, Sabah berkata, "Saya cuma melihat bahawa bentuk kehidupan kita semakin dikawal dengan kepentingan politik".

Suriani Mat dari Kulai, Johor pula bertanya, "Mengapa karya terbaik dibatalkan kontrak? Susah hendak mencari karya yang baik dan berisi sebagai ganti."

Kalau tidak silap saya, novel "Cinta Madinah" menang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2000 dan diterbitkan pada 2001. Saya pernah membacanya pada 2005, tidak lama sebelum ia disiarkan di RTM1 sepanjang Ramadan pada tahun berkenaan. Rasa-rasanya, skrip oleh Abu Hassan dan Sharifah Abu Salem.

'Cinta Madinah Edisi Murid' sudah ada dalam rekod PNM.
Novel itu memang kaya dengan unsur-unsur Islam kerana memang itulah gaya penulisan Abu Hassan. Sepanjang saya membacanya, tiada apa-apa yang menyentuh sensitiviti kaum atau agama lain.

Saya percaya bahawa kehebatan, keunikan dan kecantikan "Cinta Madinah" sebagai sebuah novel bertema Islamik yang menjadi antara faktor mengapa ketiga-tiga peringkat panel pemilih dan pegawai Bahagian Pembangunan Kurikulum (CDC) di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memutuskan untuk mengangkat novel bermutu itu sebagai teks Komsas.

Namun, dalam perkembangan terbaru, walaupun kontrak sudah ditandatangani dan buku edisi murid sudah sedia untuk dicetak, "Cinta Madinah" dikatakan kononnya menerima "tempias" daripada isu "Interlok Edisi Murid" dan akhirnya "kena pancung" daripada senarai teks Komsas.

Saya tidak akan terkejut jika alasan yang diberikan oleh KPM adalah bahawa "Cinta Madinah" bersifat "terlalu Islamik, memuji Nabi Muhammad SAW, mengangkat kehebatan kota Madinah, serta tidak bersifat 1 Malaysia".

Dalam hal ini, saya tidak menghubungi penerbit untuk bertanya mengapa mereka tidak berjuang mempertahankan novel "Cinta Madinah". Saya percaya penerbit sebenarnya sudah bersedia untuk mencetak novel edisi murid dan ISBN sudah diperoleh.

Kalaulah (ulang: kalau) memang wujud apa-apa perkara yang dikatakan sensitif dalam "Cinta Madinah", saya percaya bahawa Razlan Mohamed Noor dan Mahadzir Adun selaku editor sudah menanganinya secara professional dalam edisi murid.

Tambahan pula, apabila dikatakan "Cinta Madinah" menerima "tempias" daripada isu "Interlok Edisi Murid", tentulah penerbit, editor dan KPM mampu memastikan pisang tidak berbuah dua kali.

Akan tetapi, tentulah suatu tindakan kurang bijak (baca: bodoh) jika sebuah karya sehebat, secantik dan sesempurna "Cinta Madinah" dipancung semata-mata kerana pihak tertentu tidak mampu menangani isu "Interlok Edisi Murid" secara profesional dan matang.

Tindakan yang lebih bodoh adalah sekiranya sesiapa di KPM mahu "memancung" novel "Cinta Madinah" edisi murid dengan alasan bahawa novel itu bersifat "terlalu Islamik, memuji Nabi Muhammad SAW, mengangkat kehebatan kota Madinah, serta tidak bersifat 1 Malaysia".

Tiga judul ini sering menjadi tumpuan pembaca.
Sesiapa yang memberikan alasan seperti itu ternyata sedikit pun tidak faham apa yang dimaksudkan "1 Malaysia"! Baginya, mungkin teks Komsas berciri "1 Malaysia" wajib menampilkan watak Melayu-Cina-India dan agama Islam-Hindu-Kristian-Buddha.

Orang seperti itu juga ternyata lupa pada kedudukan agama Islam mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan serta hakikat bahawa rakyat pelbagai kaum dan agama di negara bertuah ini sudah teramat biasa membaca dan menghayati karya bertema Islam.

Malah, sewaktu novel berkenaan diadaptasi dan disiarkan secara bersiri di televisyen pada 2005, khalayak yang menontonnya bukan hanya orang beragama Islam.

Apakah mungkin ada pihak tertentu yang sengaja menggunakan isu "Interlok Edisi Murid" sebagai alasan untuk merealisasikan niat jahat "memancung" novel karya Abu Hassan? Atau untuk menyalahkan kaum tertentu sebagai punca novel itu dibatalkan kontrak?

Saya tidak menghubungi Abu Hassan untuk membincangkan isu berkaitan novel "Cinta Madinah" kerana beliau tentu masih bersedih dan kemungkinan sedang berusaha "melupakan" episod yang amat melukakan ini.

Saya juga tidak akan membazir masa menghubungi KPM kerana pihak itu masih belum mampu mencetak dan mengedarkan edisi baru novel "Interlok Edisi Murid" seperti dijanjikan menterinya enam bulan lalu.

Abu Hassan Morad.
KPM juga masih belum mampu membela nasib sekumpulan penulis yang dinafikan hak royalti teks Komsas. Lalu, apa gunanya isu "Cinta Madinah" dibawa kepada perhatian menteri sekali pun?

Pada masa sama, memang pelik (baca: gila) kalau sesiapa cuba menyamakan isu "Interlok Edisi Murid" dan "Cinta Madinah". Novel oleh Abu Hassan berkisar sepenuhnya pada watak/keluarga Melayu-Islam. Tidak ada kena-mengena dengan watak kaum/agama lain. Apatah lagi menyentuh sensitiviti kaum/agama lain.

Lalu, atas alasan apa "Cinta Madinah" dikatakan tidak sesuai dengan konsep 1 Malaysia? Apakah agaknya alasan rasmi bagi pembatalan kontrak novel itu sebagai teks Komsas? Atau pembatalan dilakukan secara senyap dan saya pula akan didakwa kerana menyebarkan maklumat rahsia kerajaan!

Nampaknya isu teks Komsas memang penuh dengan "misteri" dan "tangan-tangan halus". Ada penerbit yang menggunakan beberapa nama syarikat dan dengan amat mudah mendapat kontrak bagi beberapa karya yang menjanjikan pulangan lumayan. Apatah lagi apabila penulis asal tidak dibayar walau satu sen dan KPM tidak berani menegur.

Kalaulah benar novel "Cinta Madinah" dipancung atas alasan "terlalu Islamik, memuji Nabi Muhammad SAW, mengangkat kehebatan kota Madinah, serta tidak bersifat 1 Malaysia", saya mahu lihat novel mana pula yang (mungkin) dibawa masuk mengikut pintu belakang untuk menggantikan tempatnya.

Apa tidaknya! Novel yang bakal mengambil alih tempat "Cinta Madinah" sebagai teks Komsas pastilah sebuah karya agung yang benar-benar memenuhi ciri-ciri, semangat dan konsep "1 Malaysia". Akhirnya, kita akan tahu apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh KPM dengan "1 Malaysia".

Sementara itu, saya berharap persatuan-persatuan penulis serta badan bukan kerajaan (NGO) yang semakin lantang bersuara sejak Januari 2011 akan turut berjuang membela nasib Abu Hassan. Tidak perlulah menunggu sehingga beliau datang meminta bantuan.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.



--
You received this message because you are subscribed to the Google Groups "kl-bogel" group.
To post to this group, send email to kl-bogel@googlegroups.com
To subscribe or unsubscribe at http://groups.google.com.my/group/kl-bogel/subscribe
For more options, visit this group at http://groups.google.com/group/kl-bogel?hl=en
Sebarang email pertanyaan, hantar kepada abangmod@gmail.com

No comments:

Post a Comment