Tuesday, September 6, 2011

[kl-bogel] Benarkah PKM Pengganas? Siri 1,2 & 3.

{ DIALOG BERSAMA PEJUANG: SIRI 1 }

Rabu, 29 September 2010 06:00

BENARKAH PKM PENGGANAS ?

Pengenalan :

Dialog ini akan di siarkan secara bersiri untuk khalayak pembaca yang berminat untuk mengetahui sedikit sebanyak tentang sejarah perang melawan penjajah hinggalah mereka lari dari Malaya.

 


{Gambar Sdr. Afandi yang kini telah berusia 80 tahun tetapi fikirannya tetap segar dan dinamik. Satu ketika pernah berjuang menentang pencerobohan Jepun pada tahun 1942-1945, kemudian Inggeris dan peperangan dalam Negeri yang boleh dianggap panjang juga;}


R.A. Kartini: Salam kepada saudara Affandi. Sebagai seorang yang telah membaca dan meneliti semula sejarah, saya ingin mendapat sedikit pandangan dan penjelasan dari saudara mengenai isu PKM yang selalu dilabelkan sebagai pengganas walaupun perjuangan mereka dikatakan untuk menghalau penjajah dan kemerdekaan Malaya.

Saya memilih saudara kerana faktor latar belakang saudara, dan pribadi saudara begitu teguh dan pandangan hidup terhadap perjuangan yang pernah dilancarkan terhadap penjajah sebagai satu perjuangan yang sah sama ada dari segi moral, politik ataupun undang-undang.

Soalan saya; Ketika menentang Jepun, pihak PKM mendapat pujian Inggeris, tetapi ketika menentang Inggeris, PKM dianggap pengganas. Kenapa perkara ini berlaku...?


Sdr. Affandi : Pertama sekali, terima kasih atas kesudian cik sanggup wawancara dan memberi peluang saya jelaskan perkara ini. Pertama, saya rasa perlu jelaskan ialah PKM bersama Inggeris menentang Jepun. Ini yang sama tetapi maksud masing-masing berlainan. Pertama, pandangan dari PKM ialah jika dibanding dengan penjajah British maka pencerobohan Jepun adalah lebih buruk kerana akan menjahanamkan serta membahayakan rakyat dan negara kita jika dibanding dengan British. Jadi Jepun mesti ditentang. Tetapi bagi pihak British ialah pencerobohan Jepun ini akan memusnahkan pemerintahan penjajahannya di negara kita ini. Maka, dia juga perlu menentang Jepun. Walaupun sama-sama lawan Jepun tapi tujuan berlainan. Ini harus kita jelas. Ertinya kita menentang Jepun bukan membela British, membela rakyat dan tanahair, bukan membela British. Namun British untuk mempertahankan penjajahannya dia juga perlu menentang Jepun. Walaupun menentang Jepun tujuan masing-masing lain, tak sama. Ini kita harus jelas. Mula-mula penjajah British dia compromise dengan Jepun. Mula-mulanya.Dia menekan juga Gerakan Anti Jepun dilakukan PKM. Misalannya banyak anggota PKM ditangkap dipenjarakan, hanya sampai Jepun sudah mulai ceroboh. Pencerobohan Jepun sudah jadi kenyataan. Maka atas tawaran PKM barulah penjajah British terpaksa menerima cadangan PKM. Sama-sama melawan Jepun. Inilah hakikatnya dan setelah Jepun menceroboh itu tentera British undur dan mengalami kegagalan dalam perang, berundur turun menurun, tak sampai dua bulan tenteranya sudah undur sampai ke Singapura dan panglima tentera British iaitu Leftenan General Bek Si Hua dan seratus ribu lebih tenteranya menyerah diri pada tentera Jepun. Sejak itu dalam masa pendudukan Jepun di Malaya di negara kita satu-satunya kekuatan yang menentang Jepun melancarkan perang menentang Jepun ialah tentera Anti Jepun Rakyat Malaya dan Liga Anti Jepun di bawah pimpinan PKM. Dengan itu, perjuangan Anti Jepun di satu segi yang lain ialah dari pihak itu KMM iaitu Kesatuan Melayu Muda yang satu parti politik Melayu yang menuntut kemerdekaan. Mereka dengan tujuan hendak mencapai kemerdekaan dengan cara kerjasama dengan Jepun, kerana Jepun dia menipu katanya hendak membantu orang Melayu mencapai kemerdekaan supaya membantu dia masuk ke Malaya, tetapi apabila KMM benar-benar menuntut kemerdekaan Jepun terus mengharamkan KMM apabila benar-benar untuk merdeka KMM diharamkan. Maka sebahagian besar anggota KMM umpamanya seperti Abdullah CD masuklah Gerakan Anti Jepun di pimpin oleh PKM, dan kemudian masuk PKM dan Abdullah CD akhirnya menjadi Pengerusi PKM. Jadi sampai menjelang Jepun menyerah kalah, kekuatan tentera Anti Jepun sudah berkekuatan hampir 10,000 orang dengan lapan rejimen diseluruh Malaya. Di samping itu, laskar rakyat 10,000 lebih dan desa-desa yang dikuasai oleh Liga-Anti Jepun merata rata negeri. Ertinya di desa-desa dan sudah mengelilingi bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Ipoh dan sebagainya. Ertinya, kawasan desa dikuasai oleh tentera Anti Jepun sudah mengepong bandar-bandar besar, sederhana dan lain-lain. Jadi apabila British hendak serang balas ke Malaya maka dihantarlah apa yang dikatakan Pasukan 136, pasukan itu, tetapi hanya dengan bantuan tentera Anti Jepun barulah mereka boleh menjejak kaki di bumi Malaya, kalau tidak mereka tak dapat. Maka dengan itu, pihak tentera bersekutu mengikat perjanjian Anti Jepun bersama dengan tentera Anti Jepun. Inilah kerjasama. Kemudian akhirnya Jepun menyerah kalah, kemenangan Anti Jepun dapat dicapai. Bagaimana, ini satu kenyataan yang ketara terbentang di mata seluruh dunia. Maka dengan ini pemerintah British terpaksa mengakui jasa tentera Anti Jepun. Inilah latar belakang dia mengakui jasa PKM.

R.A Kartini: Mungkin saudara boleh mengupas sedikit mengenai pengunduran Jepun, kalahnya Jepun adakah kaitannya dengan pengeboman di Hiroshima dan Nagasaki?

Sdr. Affandi: Ini ada dua pandangan. Satu pihak dari pandangan negara barat, Amerika, British sebagainya. Mereka tentulah anggap sebab Jepun menyerah kalah kerana dua bom atomnya, satu segi. Namun, segala halnya bukan satu segi saja. Ini memang satu faktor. Tetapi satu pihak yang lain, tentera Jepun dia ada pengkalannya yang besar di negeri China, di Timur Laut China, yang dikatakan negeri Manchuria. Dia ada, 1 juta lebih tentera di situ. Ertinya, kerah tenteranya disitu. Jepun sudah bersedia kalau dalam negeri hancur, dia boleh gunakan kawasan negeri Manchuria ini yang lebih luas lebih besar daripada tanah asalnya di Jepun itu. Dia boleh melawan lagi. Tetapi oleh kerana apabila Hitler Fasis Jerman sudah kalah itu pihak sekutu daripada Soviet Union sudah mengisytiharkan perang terhadap Jepun dan mengutus tenteranya menyerang Timur Laut Tiongkok maka dalam satu minggu saja seluruh tentera Jepun di sana menyerah kalah, habis. Maka pihak ini menganggap inilah barulah hal faktor sebenarnya membuat Jepun terpaksa menyerah kalah. Jadi ertinya kita boleh banding dua sudut ini. Bukan hanya satu sudut sahaja.


(Dialog Bersama Pejuang : SIRI II)

ANTARA PKM DAN BRITISH Siapakah PENGGANAS SEBENAR

R.A Kartini: Bagaimana perasaan saudara ketika dalam pasukan yang berjuang untuk menghalau penjajah tetapi telah dianggap sebagai pengganas dan musuh kepada rakyat sedangkan pada waktu ini perajurit PKM mendapat sokongan yang begitu kuat dari rakyat.

Sdr. Affandi: Bagi menjelaskan soal pengganas ini saya rasa perlu ada huraian yang agak panjang lebar. Soal yang ringkasnya mungkin kita perlu banyak huraian iaitu perjuangan kita untuk kemerdekaan tanah air untuk membela kepentingan rakyat; ini perlu banyak huraian. Walaupun begitu, soal pengganas ini sebenarnya timbul dari soal politik. Kita perlu tinjau dari beberapa segi, pertama harus diakui ini satu perang bukan satu gerakan pemberontakkan. Ringkas begitu saja. Namanya pun kita namakan Perang Pembebasan Nasional Anti British. Ini di pihak kita.

Semua perang ada dua segi dan dua pihak; Perang yang adil dan perang yang tidak adil, ertinya satu perang mengandungi dua masalah. Macam Jepun menyerang negeri kita, kita melawan Jepun dari pihak Jepun perangnya perang tidak adil kerana perang untuk menekan dan menguasai negara orang. Bagi pihak kita pula ia adalah perang yang adil kerana perang kita adalah perang untuk membela tanah air.

Kita perlu jelaskan ini. Jangan pandang ke depan sahaja. Perang dalam segala perang mengandungi dua aspek; adil dan tidak adil. Tentang perang ini juga ada satu hujah yang terkenal dari seorang ahli teori Jerman – Clausewitz. Dia ada satu hujah. Hujah yang terkenal di dunia iaitu perang hanyalah satu kelanjutan daripada politik. Apa yang dimaksudkan satu kelanjutan politik ialah kerana kita juga perlu bertanya apa sebab perang ini timbul. Ia timbul kerana soal-soal poltik yang tidak dapat diselesaikan dengan cara aman maka timbullah perang. Ini memanglah benar...

Clausewitz menarik kesimpulan ini setelah beliau mengkaji beberapa ratus perang sejak zaman dahulu kala lagi. Mudah kita faham seperti soal kemerdekaan ini... politik bukan perang. Soal kita hendak mendirikan kerajaan sendiri, hendak merdeka ini adalah soal politik dan bukan perang. Tapi di pihak British, mereka tidak membenarkan kita menuntut kemerdekaan. Dia menghisytiharkan darurat untuk menangkap semua orang yang menuntut kemerdekaan bukan sahaja anggota PKM, maka pihak yang hendak merdeka terpaksalah memberontak dan melancarkan perang pembebasan nasional untuk mencapai kemerdekaan. Ini ertinya perang adalah satu kelanjutan daripada politik. Bagi British mereka ingin mempertahankan pemerintahannya. Dalam konteks ini pemerintahan adalah soal politik. Maka dia melancarkan tekanan dan melancarkan perang penjajah melawan kita... Jadi kalau kita tinjau dari definisi atau tafsir tentang perang dan kita lihat dari ilmu politik tentang perang kesimpulannya ialah perang ini adalah satu keganasan. Sebabnya, kerana perang kalau bukan kamu mati kami yang mati. Ia menentukan hidup dan mati, tentulah dengan segala daya upaya untuk menghapuskan pihak lawan. Tidak kira pihak mana sekali pun ! Keganasan itu bukan satu pihak. Dua dua pihak sama bukan !

Jadi manakala satu pihak kalah, kalau kalah pula sudah tentu tidak ada pilihan dan kita perlu lawan dengan keganasan bukan kerana kita mahu tetapi kita terpaksa. Jadi keganasan ini bukan satu pihak. Kedua-dua pihak adalah sama. Alasan dia menuduh kita ganas tidak perlu timbul kerana perang itu sendiri satu keganasan. Kalau kita berperang dengan sopan mana jadi perang. Ini satu hakikat. Jadi apabila dia menuduh kita pengganas boleh dilihat dari dua tujuan juga. Satu dari maksudnya bahawa, dia tidak mengakui ini sebagai satu perang walaupun sebenarnya ia satu perang. Jika British mengishtiharkan sebagai perang maka sudah tentu dia perlu mengeluarkan banyak ganti rugi bagi harta-harta yang musnah dalam perang. Maka dia kata ini bukan perang.... sebaliknya ini menghapuskan pengganas ! British sangat licik dalam segala tindakannya...! Dia menuduh kita pengganas. Apa buktinya dia kata kita pengganas mungkin yang dapat ditunjukkan ialah seperti tindakan membakar kenderaan milik british, merosakan jalan keretapi yang mengangkut bijih dan getah ke pelabuhan memotong dan merosakkan pokok-pokok getah milik British. Ini yang dia mampu tunjukkan tetapi perkara ini memang diakui satu kesilapan atau kesalahan. Perkara ini berlaku dalam satu dua tahun sekitar tahun 1950. Namun kemudian Jawatankuasa Pusat PKM telah membuat ulangkaji tentang kesalahan ini dan telah membuat satu keputusan pada 1 oktober 1950. Satu keputusan resmi telah diedarkan ke semua pasukan. Kalau kita baca buku Chin Peng My Side of History ada disebut perkara ini. Pesuruhjaya Tinggi British Gerald Templer telah dapat merampas dokumen ini dan tidak mengedarkan dokumen ini sebaliknya dia mati-matian menutup perkara ini sampai-sampai ada seorang wartawan Inggeris juga menyiarkan berita ini di England. Maka dia sangat marah hingga bertindak memecat wartawan ini. Tuduhan pengganas terhadap PKM itu seperti menegakkan benang basah. Tidak dapat mempertahankan tuduhan ini lagi, sebab itu dia mati-matian menutup perkara ini supaya tidak diketahui oleh umum. Ini telah cukup menunjukkan jahatnya dan maksudnya menuduh PKM sebagai pengganas.

Ini satu segi. Dari segi lain kita boleh beralih pula kepada kenyataan-kenyataan konkrit. Kita boleh tunjukkan pembunuhan dan penyembelihan tentera British ke atas rakyat di Batang Kali. Kemudian menghalau dan memindah secara paksa setengah juta rakyat di kampung-kampung dan rumah-rumah mereka juga telah dibakar. Apa yang dikatakan kampung-kampung baru. Sebenarnya ketika itu sebahagian golongan dijaga ketat oleh tentera. Askar-askar British memancung kepala pejuang merdeka yang dibunuhnya sebagai contoh untuk menunjukkan kepala Chin Peng sebagai satu hiburan. Bagaimana ini ! siapa pengganas sebenarnya ? Apakah tentera PKM ada berbuat begini... tidak ! Sebaliknya tentera kita apabila dalam pertempuran kalau mendapat kemenangan dan mendapat tawanan, tawanan itu kita ubati dan kemudian kita bebaskan semuanya. Contoh yang jelas dapat kita ikuti dalam buku Abdullah CD kisah pertempuran di Jalan Chenor. Beberapa tawanan di bebaskan begitu juga dalam pertempuran di ulu Semur Kelantan, tentera kita dapat kemenangan besar dan menawan 14 askar termasuk seorang pegawai tetapi semuanya diubati dan dibebaskan.

R.A Kartini: Saudara, bagaimana hubungan perajurit PKM, maksud saya cara mereka mendekati dan berkhidmat kepada rakyat?

Saudara Afandi: Dari satu segi sifat yang jelas pada perjuangan kita hanya satu yang padu iaitu untuk rakyat, untuk tanah air dan untuk membebaskan Malaya dari penjajah Inggeris. Kalau ada kesempatan, para perajurit kita akan menjalin hubungan dan membantu apa-apa yang dapat dibantu. Bantuan ini adalah kerana semangat perajurit yang telah sebati bahawa mereka perlu bekerja dan berjuang demi rakyat dan mementingkan kebajikan rakyat. Kisah pengorbanan perajurit-perajurit kita di kampung Belum mungkin boleh dijadikan satu contoh begitu juga ketika berada di sempadan, bila saja ada peluang para perajurit PKM akan bersama rakyat, menyusun massa dan membantu mereka menghadapi masalah termasuk mengubati sakit demam dan bergotong royong membersihkan kampung, bercucuk tanam malah membantu mereka membangunkan masjid dan sebagainya. Kerja-kerja ini secara langsung dapat meringankan bebanan rakyat kaum tani.

Kesimpulannya perajurit itu berjiwa rakyat dan berjuang demi rakyat. Yang penting bagi Perajurit PKM tuduhan pengganas itu tidak datang dari rakyat. Tuduhan pengganas oleh penjajah Inggeris itu bukan suatu yang sangat janggal kerana ini salah satu strategi kuasa imperialis ini untuk terus mengekalkan kuasanya di Malaya.


(Dialog Bersama Pejuang - SIRI III)

"BENARKAH PKM PENGGANAS"

 

Ikuti Dialog seterusnya....bersama Sdr. Afandi dengan kupasannya yang sangat adil walaupun terhadap muslihat kuasa-kuasa jahat. Untuk kali ini soal budaya, pendidikan dan falsafah perjuangan juga akan disentuh.

R.A.Kartini : Soalan seterusnya saudara, dalam perjuangan membebaskan negara, di satu pihak menentang penjajah dan di satu pihak lagi iaitu Inggeris mengaku melindungi rakyat terutamanya orang-orang Melayu. Bagaimana saudara melihat perkara ini...?

Saudara Afandi :Jadi, satu kenyataan yang jelas, terumum sejak zaman dahulu lagi, apa-apa pihak pun, pihak penceroboh yang mengguna kekuatan jahat mereka membuat pencerobohan dan kejahatan semuanya menggunakan perkataan mulok-mulok, untuk melindungi tujuan jahatnya. Berbagai kata-kata yang mulok-mulok supaya sedap didengar di reka-rekakan bagi tujuan menipu. Umpamanya, Jepun menyerang Malaya, apa semboyannya... ? Membantu orang Melayu menghalau British untuk merdeka...! Maka itu KMM terpedaya lalu bekerjasama dengannya.... Ketika Jepun menceroboh Tiongkok juga begitu, katanya untuk membantu rakyat Tiongkok supaya memakmurkan negara itu. Semuanya begitu...! Jadi, British juga sama... Jadi, apakah sebenarnya kepentingan orang-orang Melayu ? adakah tidak dilindungi olehnya mereka... Sebenarnya memang benar mereka melindungi kepentingan orang Melayu tetapi bukan kepentingan rakyat jelata... yang miskin. British memang telah melindungi kepentingan golongan bangsawan Melayu. Sebab itu mereka.... kelas bangsawan ini begitu bekerjasama dengan British walaupun dalam masa yang sama rakyat jelata telah di tindas. Mereka hidup melarat mengharung nasib tanpa pembelaan.


R.A.Kartini : Beralih kepada soal yang lebih istimewa iaitu, selama lebih kurang dua tahun kami bertemu dengan bekas kader-kader parti PKM kami dapat mereka sangat baik. Begitu bersopan santun, hormat dan sangat ikhlas bukan sahaja sesama mereka tetapi terhadap orang luar seperti saya sendiri. Watak ini sangat bertentangan dengan segala tohmahan yang dilemparkan terhadap perajurit PKM. Sama sekali tidak seperti yang digambarkan di dalam cerita-cerita di TV atau media lain di Malaysia. Sepanjang pengalaman saya belum pernah saya bertemu dengan orang-orang sebaik mereka. Sdr. Afandi, bolehkah jelaskan sedikit sebanyak rahsia sebenar PKM tentang bagaimana mereka dapat mengasuh dan membina sahsiah bekas-bekas perajurit ini hingga menjadi mereka begitu luhur ?

 


Saudara Afandi : Jadi hal ini, saya boleh ceritakan secara ringkas kerana kalau mahu diteliti ceritanya sangat panjang. Yang pertama ialah kerana semua perajurit adalah daripada kalangan rakyat. Mereka adalah orang-orang biasa yang miskin. Selepas masuk tentera pembebasan mereka ditanam dengan sifat-sifat lemah lembut dan rasa insaf. Keinsafan ini adalah titik mula untuk mereka berjuang demi rakyat dan bukan diri sendiri.

Mereka masuk tentera pembebasan atas kerelaan dan tidak dipaksa oleh sesiapa pun. Mereka adalah orang biasa dan bukan manusia istimewa... ! Bagi kita tentera kita ada tujuan yang besar perjuangan dan tujuan politik yang jelas iaitu untuk membebaskan rakyat dan membebaskan negara. Sifat tentera kita berbeza dengan tentera penjajah ! Yang dikatakan tentera rakyat itu ialah tentera yang jelas perjuangannya iaitu membela kepentingan rakyat. Contohnya, kita ada empat disiplin dan sepuluh peringatan untuk menjaga kepentingan rakyat. Di satu segi lain, tentera kita adalah bersifat demokrasi. Dalam tentera kita sistemnya adalah sama rata... sama taraf !. Tidak kira pegawai atasan atau perajurit bahawan. Dalam kerja memanglah ada yang memimpin dan dipimpin. Ini suatu yang mesti kita faham dengan jelas. Dalam soal layanan pegawai atasan dan bawahan adalah sama setaraf dan sama rata. Ertinya pegawai atasan tidak boleh sembarangan main tekan menekan yang di bawah.

Ini tidak sama dengan tentera British. Perajurit bawahan boleh ditampar dan ditendang sekalipun. Dalam PKM kalau ada sesiapa yang buat begitu mereka akan dihukum dengan hukuman yang keras. Dan lagi, jika pegawai atasan ada kekurangan dan kelemahan ia juga boleh dikritik dan mereka perlu menahan telinga dengan rendah diri.

Dalam gerak kerja ini, asal saja ada masa terluang didikan akan di beri. Ada dua aspek penting. Pertama... aspek pendidikan tentera iaitu pendidikan politik. Didikan ini berdasarkan satu falsapah terkenal Mao Tse Tung... katanya " Tentera yang tidak berbudaya.. adalah tentera yang bodoh..." Sebab itu parti kita sangat mementingkan soal budaya ini. Aspek kedua ialah pendidikan budaya iaitu mengajar bahasa dan mengenal huruf. Perajurit PKM kebanyakannya adalah orang miskin. Ramai dari mereka tidak sempat bersekolah dan buta huruf. Saya sendiri hanya sempat belajar selama dua tahun sebelum masuk PKM. Mereka juga dididik dengan pengetahuan tentang ilmu politik. Apakah yang dikatakan politik...juga apa itu pemerintahan dan bagaimana menyusun organisasi politik.

Satu aspek lagi ialah didikan falsafah iaitu mengenai pandangan dunia dan pandangan hidup... ertinya supaya tiap-tiap perajurit menekankan pandangan yang tepat dan jelas terhadap dunia. Dunia ini bagaimana sifatnya, apa pandangan kita terhadap kehidupan, ertinya harus menjadi seorang manusia yang bagaimana ? manusia yang hinakah, atau manusia yang mulia ada akhlak yang tinggi, menjadi manusia yang jujur, ikhlas dan berkhidmat untuk rakyat. Inilah pandangan hidup semua, semua orang. Ada juga kehidupan demokrasi, yang dikatakan kehidupan demokrasi ini ialah satu majlis kritik dan kritik diri. Ertinya dalam hal ini, atasan dan bawahan sama-sama dalam satu majlis. Masing-masing mengkaji diri, satu bulan misalannya mengkaji diri ada apa kekurangan atau kesalahan, kaji diri. Semasa sesi ini kawan-kawan yang lain memberi teguran atau kritik, misalnya saya dapati kamu ada apa kekurangan, tunjukkanlah. Jadi sama ada atasan atau bawahan tak kira dalam masa ini sama rata.

Ini kehidupan demokrasi. Dalam soal kehidupan ada juga demokrasi umpamanya kehidupan ditentukan, belanja kehidupan sudah ditentukan, satu bulan seorang RM50. Jadi RM50 ini macam mana nak diurus. Memang kita melantik seorang kawan, pengurus menjalankannya. Tapi ada juga mesyuarat tentang kehidupan kawan-kawan boleh mencadangkan cara-cara menguruskan kehidupan ini. Dan dalam pandangan dunia kita menganjurkan melawan sikap individualisma.Iaitu melawan fikiran yang mementingkan diri. Mengubahnya atau menganjurkan semangat kolektif atau semangat mementingkan kepentingan umum, kepentingan rakyat. Ertinya semua orang menekankan satu anggapan dan pandangan dalam satu, satu hal... Kalau merugikan diri tidak mengapa tapi tak boleh merugikan kepentingan orang lain dan kepentingan umum atau kepentingan rakyat.

Selain itu menganjurkan semangat bertolong bantu antara satu sama lain. Di samping itu, ada pertandingan lagi, pertandingan kita adakan satu pergerakkan menilai perajurit baik, ditentukan berapa perkara. Umpamanya dari segi soal tolong bantu, di segi semangat kerja, di segi semangat berkhidmat untuk rakyat, ditinjau siapa buat dengan baik dalam berapa perkara ini. Masing-masing berlumba-lumba dan bertanding untuk menunjukkan kebaikan di segi ini. Sampai rancangan ini tamat, maka diadakan penilaian secara demokrasi. Adakan mesyuarat masing-masing keluarkan fikiran, kawan ini bagaimana kelakuannya, layak ke tidak menjadi perajurit baik.


--
You received this message because you are subscribed to the Google Groups "kl-bogel" group.
To post to this group, send email to kl-bogel@googlegroups.com
To subscribe or unsubscribe at http://groups.google.com.my/group/kl-bogel/subscribe
For more options, visit this group at http://groups.google.com/group/kl-bogel?hl=en
Sebarang email pertanyaan, hantar kepada abangmod@gmail.com

No comments:

Post a Comment