Saturday, July 16, 2011

[kl-bogel] PSM, sosialisme dan gerakan kiri di Malaysia – Oleh Haris Zuan

Wacana politik di Malaysia sering melelahkan – tohor, emotif, sapele –   dan berlegar pada titik yang sama.  Hampir semua ruang wacana di Malaysia ini dikelambu dengan sentimen dan prejudis perkauman yang sempit. Hanya sibuk siapa kuda siapa, soal seks, ejen Yahudi/Amerika, ketuanan Melayu dan Rosmah!

Jarang sekali wacana berkenaan politik Malaysia ini menjurus kepada persoalan dasar ekonomi, hubungan antarabangsa, dan kebajikan sosial. Maka keadaan ini memberi kesempatan untuk UMNO-BN memanipulasi sentimen masyarakat.

Sebagai contoh, dengan mudah mudah, enam orang ditahan tanpa hak mendapat perbicaraan terbuka hanya kerana memiliki t-shirt dengan cetakan wajah tokoh Parti Komunis Malaya, Rashid Maidin. Tuduhannya sangat melampau, "memerangi Yang di-Pertuan Agong".

Oleh kerana wacana politik kita amat sukar sampai mencecah persoalan ideologi,  maka penahanan yang tidak masuk akal ini ada sisinya mengelirukan warga, untuk menentukan sikap mereka.

Apa itu kiri?

Apakah sosialisme, komunisme, dan 'kiri' itu salah, melampau (ekstrem) dan subversif? Perbincangan yang tumbuh di twitter dan facebook juga mengecewakan.

Kefahaman berkenaan istilah 'kiri' umumnya bersimpang siur. 'Kiri' dalam konteks Malaysia tidaklah boleh disamakan dengan Marxis klasik sebagaimana yang tercatat dalam Das Kapital karya Karl Marx itu.  Malah, spektrum 'kiri' juga berbeza pada tahun 1940an dan kini.

Pada tahun 1940an, ketika negara ini dijajah, gerakan kiri ketika itu lebih kepada gerakan nasionalisme yang menolak penjajahan. Ideologi kiri pada saat itu membantu memberikan satu perspektif terhadap sebahagian masyarakat bagaimana untuk memahami situasi sosio-politik semasa dan aspirasi untuk masa depan.

Antoine Louis Claude Destutt de Trargent Tracy (1754-1836) memberi takrif yang jelas berkenaan  ideologi dan fungsinya; sebagai proses mengeluarkan idea yang membawa kepada satu sistem nilai yang diterima sebagai fakta atau benar bagi sebahagian masyarakat dan mengandungi satu set sikap terhadap institusi dan proses dalam masyarakat.

Maka, dalam menggerakkan nasionalisme ketika itu, satu set sikap dan cara pandang yang jelas diperlukan bergantung kepada konteks pada masa itu. Sikap melawan penjajah ini betentangan pula dengan sebahagian kelompok elit konservatif yang lebih senang untuk bekerjasama dengan penjajah. Bagi bacaan lanjut, eloklah diteruskan melalui tulisan akademik seperti Rustam Sani, Social Roots of the Malay Left (2008).

Maka, apabila PSM mengangkat perjuang-perjuang kiri Malaysia (dahulunya Tanah Melayu), bukanlah kerana ideologi komunisme klasik, tetapi kerana menghormati dan bersimpati dengan perjuangan nasionalisme mereka yang berjuang menentang kapitalis-kolonial.

Apa perjuangan PSM?

Perjuangan PSM kini lebih tertumpu pada kebajikan pekerja dan dasar-dasar sosial lainnya seperti perumahan, kesihatan dan pendidikan. Bukannya mahu menghidupkan kembali komunisme sebaliknya memberi alternatif kepada sistem ekonomi sedia ada agar lebih pro-rakyat.

Hewison dan Rodan (1996) juga memberikan takrifan yang amat berguna untuk mendefinisikan gerakan haluan kiri ini dalam konteks Asia Tenggara: "Kiri adalah istilah yang biasa digunakan secara bebas untuk merujuk pelbagai gerakan dan idea perjuangan reformasi yang berlainan".

Gerakan kiri di Vietnam sewaktu perang Vietnam dahulu memanglah bersifat berbeza dengan apa yang ada di Malaysia kerana saat itu dunia masih dalam Perang Dingin dan Vietnam ketika itu sedang diserang oleh kuasa besar – Amerika Syarikat.

Walau bagaimana pun, kita memahami sebutan umum 'kiri' sebagai alternatif pada individualisme berkaitan dengan hubungan pasaran dan komitmen kepada memajukan kepentingan masyarakat – secara kolektif.

Sikap inilah yang diterima umum sebagai pendekatan kiri di Malaysia. Ia melibatkan reformasi demokrasi sosial yang mungkin mencabar kedudukan modal dan pasaran dalam had yang lebih ketat, dengan wawasan sistem sosial alternatif.

Kedua-dua haluan kiri ini dapat dibezakan daripada reformasi liberal yang menjadi memperjuangkan individualisme, kerajaan terhad (limited government ) dan pasaran bebas.  Sama ada sosialisme atau liberalisme lebih baik untuk dasar pembangunan negara, itu yang seharusnya menjadi perdebatan awam. Malangnya, ini yang tidak berlaku.

Pandangan yang mengatakan bahawa PSM merupakan parti politik yang anti institusi beraja juga sangat mengelirukan kerana jelas dalam laman rasminya bahawa PSM menghormati institusi raja berpelembagaan.

Menolak neo-feudalisme

Namaun, adalah jelas bahawa PSM dan gerakan kiri lainnya di Malaysia secara konsisten menolak neo-feudalisme dalam politik negara. Politik neo-feudal ini ditandai dengan hubungan penaug-dinaung (patron-client) yang menyebabkan wujud kebergantungan yang besar terhadap elit politik.

Masyarakat tidak diasuh untuk menjadi lebih mandiri dan yakin diri. Selain itu, pemujaan berlebihan terhadap tokoh dan individu tertentu juga memundurkan politik negara. Adalah penting untuk setiap sokongan terhadap parti atau tokoh tertentu bukan atas dasar keturunannya tetapi idea mereka.

Oleh kerana tidak banyak parti di Malaysia ini yang mempunyai ideologi politik yang jelas – DAP dalam perlembagaannya jelas  menyatakan ia parti politik yang berideologi demokrasi sosial – maka wacana berkenaan ideologi politik jarang berlaku di tahap yang matang.

Sungguhpun Daniel Bell (1960) mengatakan masyarakat konsumer akan menyebabkan berakhirnya ideologi, namun ternyata kini, persoalan ideologi kembali menjadi perdebatan penting setelah berlakunya krisis-krisis besar kemanusian pada alaf baru ini.

Saat dunia berbicara tentang demokrasi radikal, gerakan sosial baru dan pascamoden, kita masih keliru dengan jargon-jargon "isme" klasik kerana disibukkan dengan wacana perkauman sempit tajaan UMNO-BN.  – Roketkini.com

*Ketika tulisan ini disudahkan, enam orang ahli PSM, termasuk Chon Kai, sahabat kami yang baik, masih lagi ditahan di bawah undang –undang darurat. Solidariti untuk mereka yang berani!

--
You received this message because you are subscribed to the Google Groups "kl-bogel" group.
To post to this group, send email to kl-bogel@googlegroups.com
To subscribe or unsubscribe at http://groups.google.com.my/group/kl-bogel/subscribe
For more options, visit this group at http://groups.google.com/group/kl-bogel?hl=en
Sebarang email pertanyaan, hantar kepada abangmod@gmail.com

No comments:

Post a Comment