Wednesday, June 15, 2011

[kl-bogel] Punk dan budaya hentam istilah – oleh Amaluddin Zhafir

Ada sesuatu yang seakan tertinggal ketika program bedah buku anjuran Roketkini di ibu kota petang Sabtu lalu, iaitu soal golongan muda di Malaysia yang menjerumus kepada persoalan intelek terutamanya golongan yang menganggap diri mereka sebagai proletar.

Dengan sistem pelajaran yang membosankan, golongan muda akan sentiasa mencari jalan lain untuk memuaskan gelojak serakah mereka. Antaranya mereka memilih rempit, clubbing, street dance, dan ada juga yang menjurus kepada muzik punk. Punk sebagai eskapisme.

Kepada yang mendampingi muzik punk, di mana punk itu kelihatan cool, maka akan tersemai sedikit pengetahuan tentang sesuatu yang tak diajar di sekolah, melalui fanzine yang kerap dihasilkan. Ada beberapa kalangan punkers yang kuat idealisme mereka, menghasilkan zine dan menulis idea-idea dan pandangan tentang politik.

Diakui ada idealisme kuat di kalangan mereka, di mana penyaluran idea-idea termasuklah idea seputar permasalahan politik dimuatkan di dalam zine-zine, misalnya. Setidaknya, ini yang terjadi sekitar tahun 90-an.

Namun, seperti medium eskapisme lainnnya, ianya bersifat sementara. Idealisme ditendang jauh oleh 'pengikut-pengikut' punk yang hanya mahukan keseronokan harfiah semata-mata, tanpa mempedulikan apa-apa yang terjadi di sekeliling mereka. Punk seakan cuma berkisar kasut but, jaket kulit, dan koleks-koleksi CD yang tersususun di rak.

Lebih malang, zine-zine yang sebelum ini mula menjadi benih percambahan idea daripada golongan muda, turut terbantut perkembangannya. Hidup segan mati tak mahu. Kalau pun ada, hanyalah sekadar zine-zine yang berkisar kepada muzik semata-mata, tanpa ada perbincangan serius samada perdebatan isu-isu sosial, mahu pun politik semasa.

Berbalik kepada zine punk yang telah membuka wacana politik kepada golongan muda yang mati akal dengan sistem pendidikan, ia sekurang-kurangnya membuka ruang baru kepada golongan ini untuk memahami dan berdebat agar tradisi intelektual hidup semula, walau pun dalam ruang lingkup yang amat kecil

Malangnya, kebelakangan ini zine-zine seperti itu sangat terhad dan yang ada pun hanyalah sekadar ratusan zine yang berkisar kepada muzik semata-mata, tanpa ada perbincangan serius tentang politik.

Sehinggalah ianya kembali kepada budaya lama, makan suap dan berak, tanpa menggunakan 'lidah' untuk merasa dan menilai, tetapi menelan secara membabi buta malah lebih teruk mereka telalu mengangkat penulis-penulis zine itu seolah seperti amalan agama dan budaya yang tak boleh dipersoal, apatah lagi mahu mengkritik.

Jadi, tradisi intelek, yang seharusnya membuka peluang kepada golongan muda terpinggir ini, mati begitu sahaja.

Bedah tradisi?

Dalam program bedah buku Sabtu lalu, budayawan Eddin Khoo menolak mentah-mentah sikap golongan muda yang mengaku diri punk yang mahukan perubahan politik secara total.

Ini kerana baginya Malaysia jauh ketinggalan berbanding Indonesia, Mesir, Iran dan sebagainya dari segi tradisi intelektual orang muda. Baginya orang muda itu bererti mereka yang usianya remaja dan awal 20-an, dan bukan yang sudah 'dewasa' tapi berlagak muda.

"Kita pula masih terpegun dengan istilah-istilah yang kelihatan sedap didengar, Sampai tak tahu beza erti dan makna istilah," tambahnya.

Menurut Eddin, beliau menolak apa yang didakwa sebagai pergerakan kaum proletar di Malaysia kerana tidak wujud fenomena itu; golongan seperti punkers atau anak-anak pinggiran tidak ada kena-mengena dengan gelaran proletar.

"Ini kerana proletarian mempunyai maksud yang luas. Ini mungkin golongan yang menganggap diri sebagai anarkis. Tapi anarkis jenis apa? Anarkis politik? Anarkis individu?" soalnya.

Beliau memberi contoh pergerakan hippies pada dekad 60-an lalu yang menganggap mereka ini bertanggungjawab mengubah dunia politik.

"Apa sebenarnya hippies ini? Sekarang selepas 40 tahun, ada antara mereka yang berada di dalam Wall Street (syarikat-syarikat korporat yang disenaraikan di pasaran saham di Amerika Syarikat).

"Sebenarnya saya sudah muak dengan mereka yang mengaku anak muda yang selalu menganggap diri mereka mempunyai hak untuk di dengar oleh masyarakat, meminta-minta kerajaan dan orang ramai memberi ruang kepada mereka," katanya.

Tambahnya, pemberontakan terhebat dalam sejarah ialah dengan autodidact – mereka yang belajar sendiri, mencipta diri sendiri, dan mereka menyuarakan pandangan mereka kepada masyarakat. Beliau memberi contoh penyair Indonesia Chairil Anwar yang tidak pernah memohon apa-apa pada Sukarno untuk memberi ruang kepadanya.

"Saya tak faham golongan-golongan muda Malaysia ini. Mereka menganggap diri mereka sebagai pemberontak, tetapi sebenarnya masih berada dalam kepompong DEB (Dasar Ekonomi Baru) lagi. Ini lah budaya kita, sangat-sangat tak bersifat memberontak, cuma meminta," katanya.

Bedah punk?

Beberapa bulan lalu saya dan sahabat-sahabat saya didatangi sekumpulan 'anak muda' yang fesyennya seakan 'punk'. Mereka mahu berbincang untuk menghasilkan sebuah buku secara kolektif bersama kami, a la crimethinc.

Fahamlah saya kemudiannya mereka lebih kepada hanya mahu menterjemahkan tulisan-tulisan dari barat – satu usaha murni, saya fikir. Bagaimanapun, saya turut mempersoalkan kenapa tidak tulis sendiri idea yang ada, daripada menterjemah sahaja.

Saya masih tetap berpendapat perumusan idea luar untuk diterjemahkan bulat-bulat dalam konteks sesebuah masyarakat, di Malaysia misalnya, bukan idea terbaik.

Jawab mereka ialah kerana kekurangan kakitangan, masa, dan idea kerana mereka terdiri dari pelajar-pelajar universiti.

Tetapi apabila situasi ketika itu (waktu selepas tamatnya festival muzik anjuran kerajaan yang mana kugiran punk ini turut bermain) saya agak hairan.

Kenapa punk bermain di acara seperti ini? Adakah mereka sudah mengaplikasikan idea-idea baru untuk terlibat bersama 'kerajaan' dengan cara menyindir dan 'buat kacau' di majlis sebegitu supaya hadirin (yang terdiri dari pelbagai latar belakang) dapat melihat kepentingan mereka, sebagai punk? Atau mereka cuma hanya mahu berseronok?

Saya harap Henry Rollins datang ke Malaysia melawat mereka. Atau pun cukup dulu kalau dimulakan dengan merenung lirik Punk is Dead , lagu milik Crass. Bukan semalam lagu itu diltulis, bukan juga setahun lalu. Bagi Crass, punk itu sudah mati pada 1978.

Tapi punk apa yang mati? – Roketkini.com

--
You received this message because you are subscribed to the Google Groups "kl-bogel" group.
To post to this group, send email to kl-bogel@googlegroups.com
To subscribe or unsubscribe at http://groups.google.com.my/group/kl-bogel/subscribe
For more options, visit this group at http://groups.google.com/group/kl-bogel?hl=en
Sebarang email pertanyaan, hantar kepada abangmod@gmail.com

No comments:

Post a Comment