Thursday, June 9, 2011

[kl-bogel] Menolak pentadbiran Islam - Dr Mahathir lebih berjaya dari Karpal

Dr Mahathir masih lagi hendak bercakap terlalu banyak dalam mempertahankan UMNO. Niat beliau mungkin ikhlas untuk mempertahankan UMNO kerana beliau adalah ahli UMNO. Tetapi kata-kata beliau mungkin membantutkan usaha UMNO untuk kembali mendapat penghormatan rakyat. Beliau sudah agak pelupa orangnya dan banyak kali apa yang beliau kata terhadap musuh politiknya, itulah yang beliau lazim lakukan.

Dalam isu PAS dengan pembaharuannya selepas muktamar parti itu hujung minggu lepas Dr Mahathir telah mengatakan yang Karpal Singhlah yang berjaya mempengaruhi PAS supaya menolak perjuangan Islam parti itu sedangkan parti itu hanya hendak memberikan tumpuan yang lebih kepada negara kebajikan jika diberi mandat untuk memerintah. Itu adalah sebahagain besar dari pimpinan ciri Islam.

Tetapi semua rakyat ingat Dr Mahathirlah yang paling keras menentang perlaksanaan hukum hudud apabila Kelantan mahu melaksanakannya dahulu. Sekarang Nik Aziz telah mengingatkan Dr Mahathir sendiri yang beliaulah (Dr Mahathir) yang menentang keras terhadap perlaksanaan hukum hudud dahulu. Nik Aziz berkata beliau boleh menunjukan surat Dr Mahathir kepada beliau (Mahathir) jika beliau telah terlupa atau sudah mengidapi penyakit pelupa seperti yang di alami oleh kita yang sudah berusia seperti beliau ini.

Dalam surat beliau kepada MB Kelantan itu Dr Mahathir telah menolak cadangan untuk melaksanakan hukum hudud itu, bukannya Karpal Singh seperti yang dituduh oleh Dr Mahathir itu. Kelantan yang ditadbir oleh PAS selepas pilihanraya 1990 dahulu telah meminta Kerajaan Pusat untuk melaksanakan hukum hudud kerana bagi melaksanakannya ianya memerlukan kerjasama kerajaan pusat.

Mahathir telah menolak cadangan itu dan di mana-mana beliau berucap Dr Mahathir telah mempermainkan isu hudud ini dengan berjenaka seperti mengatakan jika hudud dilaksanakan ramai rakyat kita tidak akan bertangan kerana tangan tangan mereka akan dipotong kerana kesalahan mencuri. Mungkin juga apa yang dikatakan oleh Mahathir semasa itu ada benarnya kerana beliau takut terlalu ramai rakyat yang di dapati mencuri akan dipotong tangan mereka termasuk di kalangan ahli-ahli jemaah kabinet beliau.

Kalaulah Karpal memberikan tentangan terhadap melaksanakan undang-undang Islam, ianya tidaklah menjadi isu kerana beliau bukan beragama Islam. Kita sebagai seorang yang beragama Islam pun memang tidak mahu melihat unsur-unsur agama lain berada di dalam kerajaan pemerintahan kita. Kita memahami kenyataan itu dan Karpal pun faham. Tetapi yang menolak undang-undang Islam ini datangnya dari UMNO pimpinan beliau (Dr Mahathir) sendiri.

Kalau Mahathir tak bersetuju pun tak apalah, tetapi janganlah hendak meletakan isu penolakan kerajaan berlandaskan Islam itu kepada pihak lain apatah lagi kepada Karpal yang bukan beragama Islam.

Mungkin Nik Aziz patut menghantar surat yang beliau terima dari Dr Mahathir itu, setidak-tidaknya boleh mengingatkan beliau yang beliaulah yang secara formalnya telah menolak pentadbiran berunsurkan Islam itu.

Tetapi saya hanya berminat untuk mengingatkan Dr Mahathir supaya elok berfikir sebelum berkata-kata kerana jika salah cakap ianya mungkin membantutkan usaha ahli parti untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadapnya.

Dr Mahathir perlu faham yang UMNO masih belum lagi mendapat kemajuan dengan apa yang dikatakan program transformasi politik yang sedang kononnya dilakukan oleh pentadbiran Najib sekarang ini. Kita belum pun nampak transformasi yang digembar-gemburkan itu, bercakap pula Dr Mahathir yang akan memburukkan lagi keadaan itu.

Tetapi kalau beliau masih hendak bercakap tidak berhenti-henti, itu terpulanglah kepada beliau. Itu hak beliau untuk bercakap. Samada betul atau salah itu pun hak beliau. Samada cakap-cakap beliau itu membantu UMNO atau tidak itu pun hak masing-masing untuk menilainya. Ini negara demokrasi.

Hanya kalau boleh kita memohon, beliau tidak bercakap perkara yang beliau sendiri lakukan semasa berkuasa dahulu. Takut-takut ramai yang masih ingat apa yang beliau katakan dahulu. Kalau rakyat tak ingat, tak mengapa. Masalahnya masih ramai yang ingat bagaimana beliau mempersendakan hukum-hukum pentadbiran Islam, jauh lagi kerap dari apa yang dilakukan oleh Karpal Singh.

Sebenarnya bukan Karpal yang berjaya mempersendakan Islam itu. Ada orang lain yang lebih berjaya dari Karpal. Karpal tidak mungkin berjaya kerana beliau bukan Islam. Selalunya yang menggagalkan usaha Islam itu datangnya dari orang Islam sendiri.

ASPAN ALIAS


--
You received this message because you are subscribed to the Google Groups "kl-bogel" group.
To post to this group, send email to kl-bogel@googlegroups.com
To subscribe or unsubscribe at http://groups.google.com.my/group/kl-bogel/subscribe
For more options, visit this group at http://groups.google.com/group/kl-bogel?hl=en
Sebarang email pertanyaan, hantar kepada abangmod@gmail.com

No comments:

Post a Comment