[kl-bogel] KAMARUL ZAMAN TEH ZAMAN DARURAT DI TANGKAP



KAMARUL ZAMAN TEH

Profile Kamarulzaman Teh

Nama: Kamarulzaman Teh, lebih dikenali sebagai Pak Zaman

Tarikh Lahir: Tahun 1920, di Kampung Tanjung Broga, Mukim Sanggang, temerloh, Pahang

Keluarga: Anak sulung daripada 5 orang adik beradik, 2 lelaki dan 3 perempuan

Pendidikan: Lulus darjah 5 sekolah Melayu, melanjutkan pelajaran hingga standard 7 di sekolah Inggeris Clifford, Kuala Lipis, Pahang. Kemudian lulus Sekolah Pertanian Serdang, Selangor.

Pekerjaan: Pada tahun 1940 dan 1941, beliau berkhidmat di Serdang sebagai Malay Agriculture Subordinate (Pegawai Rendah Pertanian).

Politik: Dalam Masa Perang Anti-Jepun bertugas secara bawah tanah di Temerloh berkoodinasi dengan TAJRM

Tahun 1943 diterima menjadi anggota PKM. Awal 1946, beliau menubuhkan API Pahang dan menjadi Ketua 1. Bila API diharamkan, beliau menubuhkan PETA.

Beliau adalah pengasas basis revolusioner Temerloh khasnya dan Pahang amnya.

Pada bulan Oktober 1947, kamarulzaman dilantik sebagai seorang wakil PKM yang terbuka, bertugas di bahagian Pantai Timur.

Awal Jun 1948, Kamarulzaman menghadiri kursus Kem Se-Malaya yang diadakan di hutan Lubuk Kawah, Temerloh, Pahang dan dilantik sebagai komender Platun.

20 Jun 1948 beliau ditangkap oleh penjajah British. Beliau dihantar ke Penjara Pudu, Kuala Lumpur. Berkat usaha bapanya, beliau mendapat "pengampunan" Sultan, keputusan hukuman mati diubah menjadi penjara seumur hidup.
1962, beliau dibebaskan dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan.

Setelah dibebaskan Kamarulzaman bekerja di Temerloh Bus Company. Kemudian menyertai Parti Sosialis Rakyat Malaysia. 1981-1989 dilantik sebagai anggota Jawatankuasa Pusat PSRM. Beliau pernah menjadi calon Parlimen Temerloh dalam pilihanraya 1974, tetapi dikalahkan.

Dalam tahun 1950-an, ketika beliau masih dalam penjara, beliau dilantik sebagai anggota Kehormat Markas Besar Rejimen Ke-10.

Rumahtangga: Beliau berkahwin pada tahun 1947. Tapi isterinya minta fasah ketika beliau di dalam penjara.

Catatan Abdullah C.D. berkenaan Kamarulzaman Teh: Pemimpin dari Temerloh, Kamarulzaman Teh
Kamarulzaman Teh dilahirkan pada tahun 1920 di Kampung Tanjung Broga, Mukim Sanggang, Temerloh, Pahang. Bapanya, Haji Teh bin Tok Abu Bakar, seorang guru sekolah yang lulus dari Maktab Perguruan, berasal dari Kampung Lebak, Temerloh. Ibunya bernama Hajah Siteh binti Ali.
Pada mulanya Kamarulzaman belajar di Sekolah Melayu Kampung Lebak, Temerloh, lulus darjah lima pada tahun 1929. Pada tahun 1930 Kamarulzaman masuk Sekolah Inggeris Clifford, Kuala Lipis, Pahang, lulus darjah tujuh. Kemudian beliau memasuki Sekolah Pertanian Serdang dan mendapat kelulusan pada tahun 1939. Pada tahun 1940-41, Kamarulzaman berkhidmat di sana sebagai Pegawai Rendah Pertanian. Kegemarannya masa di sekolah ialah menjadi pengakap, bermain kriket, hoki dan badminton.
Kamarulzaman gemar membaca buku-buku sejarah seperti sejarah kolonial dan tanah jajahan, sejarah Revolusi Oktober, pemberontakan di Indonesia dan lain-lain. Buku-buku ini terdapat di sekolah pada waktu itu. Ini merupakan pengaruh politik yang awal di sanubari beliau.
Sebelum Perang Dunia Kedua, beliau menyertai KMM di bawah pimpinan Mustapha Hussein. Beliau dan Nazar Nong, juga dari Pahang, adalah rakan seperjuangan dan bercita-cita sama berjuang untuk kemerdekaan tanah air.
Pada masa Perang Anti-Jepun, Kamarulzaman bergerak secara bawah tanah selama dua tahun, dari hujung tahun 1943 hingga Ogos 1945. Tugasnya ialah memimpin badan propaganda di bahagian Temerloh dan berkoordinasi dengan pasukan TAJRM. Dalam badan propaganda, beliau menyebarkan siaran-siaran kepada massa, memberi penjelasan tentang perjuangan antifasis, serta membuat siasatan dan mengutip maklumat tentang gerak-geri mata-mata gelap Jepun.
Kamarulzaman menjadi anggota PKM melalui cawangan di Temerloh pada tahun 1943.

Setelah Jepun menyerah kalah, Kamarulzaman ditugaskan membangkitkan semangat nasionalisme di kalangan orang Melayu. Beliau bekerjasama dengan PKMM. Ketika itu API sebagai sayap PKMM baru sahaja ditubuhkan. Kamarulzaman telah menubuhkan API di Pahang pada awal tahun 1946 dengan beliau sebagai Ketua satunya dan Yusuf Salleh sebagai Setiausahanya.
Di bawah pimpinan Kamarulzaman, semangat nasionalisme anggota-anggota di dalam barisan API Temerloh berkobar-kobar, militan dan revolusioner. Sebahagian daripada mereka dipupuk untuk diserapkan menjadi anggota PKM. Di seluruh Pahang anggota API ketika itu berjumlah lebih kurang seratus orang. Tiga puluh empat orang daripadanya ialah anggota PKM.
Tugas API ialah memberikan penerangan kepada massa rakyat tentang perjuangan anti-British. Salah satu cara dalam menjalankan tugasnya ialah menubuhkan badan sandiwara yang terdiri daripada dua puluh hingga tiga puluh orang kawan. Pementasan sandiwara mengisahkan penderitaan rakyat di bawah belenggu penjajahan, dan sindiran tajam terhadap penjajah British. Apabila tirai dibuka, anggota API menyanyikan lagu "Darah Rakyat," "Tanah Air" dan lain-lain. API bergerak di pelbagai tempat seperti Chenor, Bera, Lubuk Kawah, Semantan, Benta dan lain-lain.
Apabila API diharamkan, ditubuh pula PETA dengan Wahi Anuar sebagai Ketua Satunya. Anggota-anggota API secara automatik menjadi anggota PETA. Bersempena kongres PETA yang diadakan pada bulan April 1948 di Temerloh, satu perarakan secara besar-besaran telah diadakan. Polis cuba menghalang tetapi ditentang dengan gagah berani oleh para peserta perarakan.
Selepas Perang Dunia Kedua, berlaku rusuhan antara kaum di Batu Malim, Raub, Pahang. Semasa rusuhan itu meletus, Kamarulzaman dihantar oleh PKM bersama dengan Shamsuddin Salleh dan Nazar Nong yang mewakili PKMM dan seorang kawan Tionghua wakil PKM dari Bentong memberi penerangan kepada orang Melayu dan Tionghua. Rusuhan itu akhirnya dapat dicegah daripada merebak.
Pada Oktober 1947 Kamarulzaman dilantik sebagai salah seorang wakil PKM secara terbuka, bertugas bagi kawasan Pantai Timur meliputi Pahang, Terengganu dan Kelantan. Beliau bergerak secara terbuka atas nama wakil PKM. Dalam kongres penubuhan BTM di Kajang, Selangor pada Oktober 1947, beliau dijemput berucap sebagai wakil PKM. Orang ramai banyak yang terkejut, kerana sebelum ini beliau dikira wakil API.
Dalam Jabatan Kerja Melayu, Kamarulzaman bertanggungjawab terhadap tugas untuk mengembangkan organisasi PKM bahagian Melayu di kawasan Sektor Timur, dengan Pahang sebagai titik utamanya.
Semakin bergolaknya situasi perjuangan, penjajah British semakin hebat menekan gerakan untuk kemerdekaan. Pihak organisasi PKM mengeluarkan arahan untuk melatih kawan-kawan dalam soal persenjataan. Kamarulzaman ditugaskan menyediakan satu tempat latihan. Beliau berbincang dengan kawan-kawan dan memilih hutan Lubuk Kawah sebagai kem tempat latihan. Kawan-kawan tertentu sahaja yang dibenarkan membuat kem itu yang dikenali dengan nama Kem Se-Malaya. Satu demi satu regu kader bahagian Melayu dari setiap negeri datang untuk berlatih. Jumlah yang hadir seramai tiga puluh enam orang. Kursus hanya dapat diadakan selama dua minggu sahaja kerana keadaan semasa yang berubah amat cepat.
Sebelum latihan bermula, satu regu kawan-kawan yang diketuai oleh Ibrahim Chik pergi mengambil 15 pucuk senjata daripada kawan Tionghua di Batu Tiga.
Pada 20 Jun 1948, Kamarulzaman ditangkap oleh penjajah British di bawah Undang-undang Darurat. Mengikut laporan yang saya terima, beliau ditangkap pada kira-kira pukul 10 pagi di Kedai No. 1, Jalan Abu Bakar, Temerloh. Masa itu beliau menyeberang sungai dari kampung ke bandar. Dia belum mengetahui yang darurat telah diisytiharkan pada malam sebelumnya. Apabila sampai ke kedai, dia terus pergi ke stesen bas untuk pergi ke Mentakab. Tiba-tiba datang beberapa orang. Yang beliau ingat ialah seorang sub-inspektor (beruniform) dan dua orang mata-mata gelap bernama Ismail dan Mat Taram (tidak beruniform). Mereka berkata kepada Kamarulzaman. "Minta segera pergi ke Mentakab, kerana OCPD Day mahu berjumpa."
Kamarulzaman menjawab, "Saya penduduk di Temerloh, saya boleh pergi, tak payahlah kalian arahkan, dan saya boleh pergi sendiri."
Polis itu berkata lagi, "Che Kamar mesti pergi sekarang juga kerana hal ini penting."
Kamarulzaman terus menjawab, "Penting tak penting tu soalan saya. Kalau ada warrant of arrest (surat rasmi tangkapan), boleh saya mengikut secara teratur."
Mereka memberitahu Kamarulzaman bahawa mereka tak ada waran. Kamarulzaman menjawab, kalau tak ada waran, dia tak mahu pergi, biarlah dia pergi bersendirian, jangan memaksanya.

Mereka berkata, "Kalau begitu Che Kamar tak mahu pergilah."
Kamarulzaman menjawab, "Tidak, bukan saya tak mahu pergi."
Tiba-tiba mereka cuba mengasak beliau untuk ditangkap. Apabila beliau diasak ke suatu sudut, secara tak sedar beliau telah mengenakan tumbukan kepada mereka bertiga. Dan mereka terlentang di atas tong peti surat di situ sambil berteriak, "Tangkap dia. Dia melawan!"
Kamarulzaman jawab, "Saya tidak melawan. Encik datang menggasak saya. Saya sudah beritahu jangan, saya boleh pergi sendiri."
"Mana boleh," jawab mereka. Mereka datang sekali lagi, Kamarulzaman menumbuk mereka lagi hingga terjatuh.
Beberapa kali pertarungan berlaku. Akhirnya mereka bertiga menyerang Kamarulzaman lagi, memegang dan membawa beliau ke tengah lorong simpang tiga bandar Temerloh. Kamarulzaman meminta mereka berhenti sebentar kerana nak memberitahu orang ramai hal yang sudah terjadi. Dengan kesempatan ini beliau memberitahu orang ramai di situ yang beliau telah ditangkap oleh penjajah British. Lantas Kamarulzaman terus dibawa menuju ke balai polis.
Di tengah jalan, Mat Taram berkata kepada beliau, "Matilah saya Che Kamar, orang Che Kamar tentu cari saya."
Kamarulzaman berkata kepadanya, "Encik Taram menjalankan tugas, tugas Che Taram sudah selesai. Tapi sekiranya perkara itu sejengkal, jangan buat jadi sedepa." Kerana orang ramai di situ adalah penyokong gerakan kemerdekaan." Mat Taram telah melahirkan rasa takut dan bimbang akan padah tindakannya.
Sesampai sahaja di Balai Polis Temerloh, OCPD Day ada di situ. OCPD bukan main garang. Dia memaki Kamarulzaman dengan berkata "You're a Russian dog!" (Kamu anjing Russia).

Kamarulzaman menumbuk meja dan menjawab, "You're an imperialis dog!" (kamu anjing imperialis).
"Sombong, ya!", kata Day lagi dalam bahasa Melayu pelat Inggeris.
Kamarulzaman menjawab, "Tidak, saya tidak sombong. Tuan yang bercakap dulu."
Day memerintahkan Kamarulzaman dikurung dalam lokap. Dia ambil beg Kamarulzaman lalu membuka dan menjumpai sepucuk pistol di dalamnya.
Day bertanya, "Apakah itu senjata kamu?" Kamarulzaman berkata, "Bukan, saya tak tahu, takkan saya pergi ke bandar bawa senjata, lagi pun ini menurut undang-undang memang salah." Semasa beliau bergelut dengan polis, pistol itu tak terlepas ada di bahunya.
Sarjan polis Temerloh waktu itu adalah orang bawah tanah. Kerana itu, Kawan Haji Hashim (Chen Nan) telah mengutus Rosli (waktu itu dia belum masuk pasukan lagi) membawa sepucuk surat meminta Sarjan melepaskan Kamarulzaman. Kerana ini adalah tangkapan yang dirancang oleh penjajah British, maka Sarjan tak boleh buat apa-apa. Walau bagaimanapun Rosli dilepaskan.
Kamarulzaman tinggal dilokap Temerloh selama tiga hingga empat hari sahaja, kemudian terus dihantar ke penjara Kuala Lipis. Di sana sudah terdapat ramai kawan-kawan yang ditahan di bawah Undang-undang Darurat. Mereka itu terdiri daripada anggota PKMM, API, dan lain-lain. Dua malam di sini Kamarulzaman dihantar ke Balai Polis Campbell, Kuala Lumpur. Keesokannya pula beliau dihantar ke Penjara Pudu. Di sana beliau diasingkan di bilik khas menunggu pembicaraan mahkamah. Dalam bilik khas itu, beliau bertemu dengan Adnan dari Kajang, Selangor yang juga ditangkap kerana kes senjata api.
Mengikut rancangan yang ditetapkan dalam perhimpunan kader di Kem Se-Malaya, Kamarulzaman ditugaskan membentuk pasukan bersenjata di daerah Temerloh sebagai persiapan untuk menghadapi tindakan penjajah British yang telah diduga akan bertindak dengan lebih keras dan melakukan penangkapan secara sekali gus. Temerloh juga diputuskan sebagai pusat pasukan Melayu. Di situ ramai pemuda berdarah revolusioner dari PKMM, PETA, BTM dan lain-lain telah berkumpul dan menunggu perintah dari Kamarulzaman sahaja. Akan tetapi kerana Kamarulzaman tertangkap, kawan-kawan itu terpaksa bergerila secara sendiri-sendiri untuk mengelakkan penangkapan penjajah British.
Kerana beliau ditangkap, saya yang sedang membangun pasukan di Benta dipanggil balik ke Temerloh untuk mengambil alih tugas Kamarulzaman. Malangnya, saya juga tertangkap di tengah jalan di kawasan Ulu Dong. Keadaan ketika itu amat genting bagi gerakan revolusi di bahagian Melayu kerana tiga orang pimpinan utama telah ditangkap, menimbulkan rasa pesimis di kalangan organisasi dan massa rakyat. (Rashid Maidin juga ditangkap pada Julai 1948). Hanya setelah saya berjaya melepaskan diri dari tangkapan musuh dan kembali ke Temerloh bergabung dengan pasukan asas, barulah dikembangkan semula pembangunan pasukan Melayu. Hampir setahun kemudian iaitu pada 21 Mei 1949, barulah kami berjaya membentuk Rejimen Ke-10. Dan sejak itu, barulah revolusi di bahagian Melayu berkembang semula. Untuk menghargai sumbangan Kamarulzaman memimpin perjuangan untuk kemerdekaan di kawasan Temerloh sehingga terdapat ramai pemuda Melayu yang tinggi kesedaran nasional dan revolusioner serta terbentuk sejumlah anggota asas untuk pembentukan Rejimen Ke-10, Markas Besar Rejimen Ke-10 telah menganugerahkan gelaran sebagai anggota Markas Besar Kehormat Rejimen Ke-10 kepadanya. Dan sejak itu, barulah revolusi di bahagian Melayu berkembang semula.
Mengikut laporan Kamarulzaman, semasa perbicaraan, hakim menjatuhkan hukuman bersalah memiliki senjata api dan dikenakan hukuman gantung sampai mati ke atas beliau. Akan tetapi setelah itu beliau diberitahu bahawa ada surat yang mengatakan beliau sudah diampunkan oleh Sultan Pahang, lalu hukuman diubah menjadi penjara seumur hidup.
Kamarulzaman adalah pejuang kemerdekaan yang pertama sekali dijatuhi hukuman gantung kerana memperjuangkan kemerdekaan setelah darurat diisytiharkan. Akan tetapi kerana beliau mendapat pengampunan dari Sultan Pahang, beliau tidak jadi digantung. Pejuang kemerdekaan yang pertama menjalani hukuman gantung ialah Adnan yang di penjara bersama dengan Kamarulzaman. Beliaulah putera terbaik tanah air yang pertama menghadapi tali gantung penjajah. Beliau anggota PKMM dan BTM yang berasal dari Selangor. Setelah penjajah British mengisytiharkan Undang-undang Darurat, beliau menyertai perjuangan bersenjata anti-British di Selangor. Akan tetapi beliau tercedera dalam pertempuran dan ditangkap musuh lalu dijatuhi hukuman gantung. Mengikut laporan Kamarulzaman, selepas Adnan digantung, barulah kawan-kawan lain turut digantung, kadang-kadang tiga orang, kadang-kadang enam orang satu kali digantung. Yang saya maksudkan di sini ialah dari orang Melayu sahaja. Selain itu masih ramai pejuang kemerdekaan dari kaum lain juga menghadapi tali gantung penjajah. Antara yang meninggalkan kesan mendalam bagi saya ialah Ganapathy.
Ganapathy adalah seorang pejuang peringkat internasional yang ulung yang pernah bersama-sama saya bergerak dalam PKM untuk usaha kemerdekaan tanah air. Yang teristimewanya ialah beliau dua kali dihukum gantung. Kali pertama semasa Perang Dunia Kedua oleh kaum fasis Jepun. Akan tetapi kerana kekalahan Jepun secara mendadak, maka beliau tidak sempat digantung. Kali kedua pada masa Perang Pembebasan Nasional Anti-British. Beliau memasuki perjuangan bersenjata anti-British setelah darurat diisytiharkan. Akan tetapi beliau tertangkap oleh penjajah lalu dijatuhi hukuman gantung.
Mengikut laporan Kamarulzaman kawan-kawan yang dikenakan hukuman gantung cukup bersemangat dan amat mengharukan. Esok mereka akan digantung, malamnya mereka tidak tidur, menyanyi lagu-lagu patriotik dan meneriakkan slogan "Hidup PKM." Apabila mereka dibawa ke tali gantung, kedengaran mereka terus menyanyi.
Di Penjara Pudu, Kamarulzaman bersama kawan-kawan lain memimpin para tahanan melancarkan perjuangan untuk perbaikan layanan dan lain-lain. Berkat perjuangan mereka, pihak berkuasa penjajah terpaksa memberikan sedikit kelonggaran ke atas mereka.
Tiga bulan sebelum tarikh Kamarulzaman dikeluarkan daripada penjara, beliau telah dipanggil oleh tiga orang pegawai Special Branch untuk soal siasat – seorang menyoal, seorang memerhatikan gerak-geri beliau dan seorang lagi membuat catatan.
Tiga bulan kemudian, pada tahun 1962, Kamarulzaman dibebaskan. Sebelum keluar daripada penjara pihak Special Branch membacakan beberapa syarat yang dikenakan ke atas beliau seperti tidak boleh campur politik, tak boleh campur kesatuan sekerja, tidak boleh bercakap dengan bekas tahanan politik, tidak boleh meninggalkan daerah Campbell Police District, tidak boleh tukar alamat tanpa izin dan mesti berada di dalam rumah antara jam 10.00 malam hingga 6.00 pagi.
Setelah dua tahun Kamarulzaman berada di Kuala Lumpur, beliau menulis surat kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) memohon balik ke Temerloh untuk menjaga ibunya yang sudah tua. Permintaannya ini diluluskan tetapi ditambah lagi dua syarat – iaitu mesti melaporkan diri ke polis daerah Temerloh dan tidak boleh pindah dari daerah Temerloh ke tempat lain. Syarat-syarat ISA seperti yang disebutkan di atas tadi tetaplah dikenakan selama lapan tahun mulai 1962 hingga 1970.
Setelah semua syarat-syarat yang dikenakan ke atas beliau dibatalkan pada tahun 1970, kawan-kawan dari Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) (kemudiannya Parti Rakyat Malaysia) datang menemuinya dan minta beliau menjadi anggotanya. Pada tahun 1974, PSRM minta beliau menjadi calon Parlimen Temerloh menentang Datuk Hamzah Abu Samah, seorang menteri dalam Kerajaan Barisan Nasional. Kamarulzaman mendapat sokongan yang sangat baik daripada semua kaum di Temerloh, walaupun beliau baru sahaja berkecimpung dalam politik pilihan raya. Kamarulzaman terus bergiat dalam PSRM dan telah dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Pusat parti itu selama sembilan tahun dari tahun 1981 hingga 1989. Beliau meninggal dunia pada 5 November 2002 dalam usia 82 tahun.

Dicatat oleh WASIAT di 05:40

--
You received this message because you are subscribed to the Google Groups "kl-bogel" group.
To post to this group, send email to kl-bogel@googlegroups.com
To subscribe or unsubscribe at http://groups.google.com.my/group/kl-bogel/subscribe
For more options, visit this group at http://groups.google.com/group/kl-bogel?hl=en
Sebarang email pertanyaan, hantar kepada abangmod@gmail.com

Comments

Popular posts from this blog

[kl-bogel] Huzaida..

[kl-bogel] Sasha Isteri Teman

[kl-bogel] Cikgu Zana