Saturday, June 11, 2011

[kl-bogel] Era progresif Dr Burhanuddin menjelma kembali

Akhirnya, ramailah yang terloncat gembira dan tak kurang juga yang sasau selepas berakhirnya muktamar PAS minggu lalu. Lebih mencuit hati apabila ada ahli politik seperti kera kena belacan, meroyan seperti lelaki gila talak. Sedih dan sayu hati melihat segelintir Melayu mudah  lupa.

Lalu muncul istilah "Erdogan" dan "sekular", hero seperti jaguh "kafir-mengkafir" kini sudah bersilih-ganti dan pastinya gelaran itu kini milik (Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru) Zulkifli  Noordin.

Hebat sindiran si lebai bernama Zulkifli dengan kata-katanya kepada (Presiden PAS Datuk Seri) Hadi Awang, "Sebagai seorang agamawan yang tegas walau pun tidak banyak bercakap, namun  beliau kini tersepit di antara 'impian ke syurga' dengan 'kilauan Putrajaya'."

Beginilah nasib apabila kerap melompat parti, tergila-gila popularity, mahu jadi imam "kafir mengkafir".

Alangkah baik kalau si jaguh ini lapangkan dada dan membaca sedikit lembaran sejarah terutamanya menyingkap perihal tokoh dan pejuang  kemerdekaan negara iaitu Presiden PAS sekitar 1956-1969, Dr Burhanuddin al-Helmy.

Kesediaan bekerjasama dan prinsip Dr Burhanuddin sepanjang melalui liku-liku menuntut kemerdekaan negara merupakan lipatan sejarah yang tidak akan hilang  dek zaman.

Slogan anti-penjajah PAS pada tahun 1950-an sangat lantang, jalinan kerjasama antara PAS dengan gerakan buruh, rakyat serta parti-parti kiri untuk  menuntut kemerdekaan semasa di bawah pimpinan Burhanuddin sangat mencemburukan penjajah.

Kesediaan menjalin kerjasama dengan mereka yang dianggap golongan kiri ini mencerminkan PAS bukanlah sebuah parti yang kolot malahan merupakan penggerak  utama serta lebih progresif berbanding UMNO ketika itu yang melaungkan slogan 'Hidup Melayu'.

Kebijakan dalam pertimbangan bagi menentukan hala tuju yang dibawa Dr Burhanuddin serta parti pimpinannya membuka lembaran lebih luas di dalam perjuangan  sebenar satu-satunya Parti Islam negara tersebut.

Maka tidak hairanlah pembaharuan dan imej progresif yang dibawa PAS ini menjadi momok yang menakutkan UMNO serta rakan-rakan perikatan mereka iaitu MIC dan  MCA.

Lantaran itu, PAS dilihat sudah semakin matang dan mula membiak dengan benih-benih kesuburan demokrasi di kalangan ahli parti yang suatu ketika dahulu  dipandang sebagai pak lebai.

Bekas presiden UMNO, Dr Mahathir Mohamad antara susuk-susuk yang menyuarakan kebimbangan, penjenamaan "Negara Berkebajikan" menimbulkan rasa kurang senang malahan ia  menjadi kritikan keras dari mereka yang mula rasa tergugat.

"Di atas robohan Kota Melaka, kita dirikan jiwa merdeka" merupakan kata-kata keramat Dr Burhanuddin yang sudah semakin dilupakan tetapi dengan barisan  pemimpin muka baru yang segar dan imej baru PAS bakal mencorak perjalanan penuh dengan kejayaan kelak.

Dengan setiakawan di dalam Pakatan Rakyat, lembaran baru kerjasama PAS-DAP-PKR ini bakal memangkin satu pembaharuan dan imej ke hadapan yang akan  menarik lebih ramai golongan muda serta pelbagai bangsa untuk mendekati PAS yang suatu ketika dahulu pernah digeruni.

Syabas PAS yang mahukan perubahan; bilakah agaknya politik wang dalam UMNO akan tamat? Siapakah yang tidak sanggup berubah akan merasa padah..

Nota: Dr Burhanuddin al-Helmy merupakan bekas Yang Dipertua Agung Partai Islam Se-Tanah Melayu pada tahun 1956 hingga kematiannya pada tahun 1969, kesan daripada penahanan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Di  bawah kepimpinan Burhanuddin, PAS mempunyai orientasi menyokong kesatuan sekerja dan anti-kolonialisme. Beliau digambarkan sebagai seorang "nasionalis  radikal dan pemikir Islam".

M. Izwan

--
You received this message because you are subscribed to the Google Groups "kl-bogel" group.
To post to this group, send email to kl-bogel@googlegroups.com
To subscribe or unsubscribe at http://groups.google.com.my/group/kl-bogel/subscribe
For more options, visit this group at http://groups.google.com/group/kl-bogel?hl=en
Sebarang email pertanyaan, hantar kepada abangmod@gmail.com

No comments:

Post a Comment