Monday, June 20, 2011

[kl-bogel] Apa Muslihat Bayar RM3.5 Bilion??

 

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut penjelasan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Najib Razak tentang hubungan "akrab" antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan PetroSaudi International Limited sehingga mengeluarkan dana secara tunai berjumlah RM3.5 bilion.

Menurut Anwar, kenyataan yang dikeluarkan oleh Najib juga bercanggah dengan laporan audit yang dikeluarkan oleh KPMG bersabit pelaburan pembangunan tanah pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi yang mahu dinaik taraf menjadi Bandar Malaysia.

"Isunya kerana bayaran pelaburan yang dibuat oleh 1MDB, RM3.5 bilion kepada Petro Saudi International Limited secara tunai.

Jadi saudara bayangkan, ini kerjasama yang paling hebat dalam dunia, (urusan) tunai," kata beliau pada sidang media di parlimen tadi.

Malah Anwar sebelum itu di Dewan Rakyat berhujah, penyata kewangan enam bulan pertama sehingga 30 September 2010 menunjukkan 1MDB mengalami kerugian RM158.3 juta dengan kos operasi enam bulan sebanyak RM20.5 juta.

Justeru ujarnya, pengumuman keuntungan 1MDB oleh Najib disangsikan kebenarannya apatah lagi dana melalui jaminan bon kerajaan persekutuan ditambah sebanyak RM10 bilion sehingga 2013, menjadikan jumlah keseluruhan RM15 bilion untuk syarikat pembangunan strategik tersebut.

Sebelum ini pada 2009, Anwar menimbulkan kesangsian terhadap keuntungan RM425 juta yang diuar-uarkan 1MDB pada tahun pertama pengoperasiannya selepas syarikat itu diberikan wang permulaan berjumlah RM5 bilion melalui bon kerajaan pada ketika itu.

Anwar turut mendakwa kerajaan tidak menyatakan sebarang jaminan terhadap kepentingan rakyat yang melibatkan hartanah paling berharga di ibu negara yang dipercayai boleh menjana pulangan ekonomi berpuluh bilion ringgit.

Sehubungan dengan itu beliau sekali lagi menimbulkan persoalan tentang syarikat PetroSaudi yang didaftarkan di Cayman Islands dan British Virgin Islands, di mana kedua-dua tempat itu merupakan kawasan bebas cukai.

Jelas menurutnya, perjanjian antara kedua-dua buah syarikat tersebut cuba untuk diselindungi melalui kepentingan yang dirahsiakan.

"(Maklumat) daripada laporan KPMG melalui akaun yang diaudit.

Kami juga cari sebab tanggapan yang diberikan kepada umum di mana PetroSaudi yang bertapak di Saudi dan sebab ianya merupakan syarikat luar negara, kita ada masalah (mendapatkan maklumat)," jawab beliau kepada wartawan.

Beliau kemudian menyatakan bahawa projek seumpama ini seharusnya mempunyai ketelusan kerana ianya melibatkan kepentingan rakyat tempatan khususnya bekas pegawai tentera dan beberapa syarikat berkepentingan Bumiputera.

Jelasnya lagi, kaum Bumiputera juga harus diberi keutamaan di samping pelaksanaan tender terbuka bagi membolehkan rakyat tempatan bersaing bagi meraih keuntungan melalui projke-projek berkenaan.

Ahli parlimen Permatang Pauh itu kemudian menyifatkan pembayaran secara tunai melibatkan usahasama kedua-dua syarikat itu tidak pernah berlaku dalam sejarah perjanjian antara syarikat.

Justeru beliau tidak menolak kemungkinan berlaku ketidaktelusan selain kerajaan tidak bersikap adil kepada golongan yang berhak dan layak menyertai pembidaan tender itu.

 

No comments:

Post a Comment