Sunday, May 22, 2011

[kl-bogel] Kegusaran Najib

Roketkini.com 

Kegelisahan Barisan Nasional tentang kepastian hayat politiknya pada pilihan raya umum akan datang kian menonjol. Pelbagai sandiwara politik dimainkan berulang kali untuk menangguk sokongan rakyat. Antaranya adalah berita kononnya kaum Cina bakal kehilangan perwakilan dalam jemaah menteri dan kerajaan akan datang jika MCA dan Gerakan terus ditolak. Ugutan itu disuarakan bukan saja oleh Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek, malah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut mengulanginya.

Hantu jembalang usang yang dimainkan UMNO, yakni DAP Cina bakal menguasai Malaysia dan memerintah Melayu jika Pakatan Rakyat berkuasa di pusat kelak, dilayangkan saban hari dalam media kawalan UMNO. Konsep 1Melayu 1Bumiputera diketengahkan tanpa segan silu, yang nyata bercanggah dengan konsep 1Malaysia tajaan Najib. Apakah Najib takut dengan kumpulan rasis atau ia sandiwara ciptaan Najib sendiri?

Lagu pelawaan UMNO kepada PAS untuk bersatu kononnya untuk perpaduan Melayu dan Islam didendang lagi, sempena muktamar PAS pada bulan Jun ini. Namun setelah ditolak dalam percubaan lalu, nada kali ini diubah pula menyeru kepada PAS supaya keluar dari PR kerana kononnya PR tidak memperjuangkan Islam. Ternyata begitu terdesak Najib untuk memecahkan PR.

 

Kenapa Najib begitu terdesak?

Tinjauan pendapat yang dibuat Merdeka Centre pada bulan Disember 2010 menunjukkan rata-rata 69 peratus rakyat Semenanjung Malaysia menyokong Najib. Maklumlah beliau masih baru sebagai PM. Kesan PM baru biasanya membawa kemenangan besar kepada BN. Ia terbukti pada PM yang lalu, iaitu semasa Tun Razak menggantikan Tunku Abdul Rahman, Tun Dr Mahathir Mohamad menggantikan Tun Hussein Onn dan Tun Abdullah Badawi menggantikan Mahathir. Ditambah pula keputusan pilihan raya kecil sepanjang 2010 di mana sokongan kaum Melayu dan India dilihat sudah beransur kembali kepada BN. Semuanya seolah-olah baik belaka kepada Najib.

Jadi kenapa Najib perlu gusar?

 

PRN Sarawak

Selepas pilihan raya negeri Sarawak pada April lalu, beberapa kesan politik jelas kelihatan. Walau pun BN menang majoriti dua pertiga Dewan Undangan Negeri, undi popularnya jatuh mendadak sebanyak 8 peratus. Mengikut kajian dan andaian ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong dan penganalis politik Dr Wong Chin Huat, jika status undi popular itu kekal, dijangkakan sekitar 6 hingga 10 kerusi parlimen BN di Sarawak bakal dirampas PR jika PRU diadakan sekarang.

Faktor kekalahan BN di kerusi DUN di bandar-bandar besar Sarawak dilihat sebagai kebencian rakyat Sarawak kepada Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang bukan saja terlalu lama memerintah tetapi juga didakwa terlalu banyak mengaut hasil pendapatan negeri untuk diri dan keluarga. Janji Najib sewaktu PRN itu yang Taib akan bersara belum pasti akan dikotakan. Walau pun Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak atau PBB pimpinan Taib berjaya menyapu bersih kerusi, banyak faktor lain yang dilihat sebagai kelemahan BN di negeri itu.

Pola pengundian makro menunjukkan kaum Cina teguh bersama PR. PR, khususnya DAP, kini dilihat sebagai parti pilihan kaum Cina di seluruh negara. Dengan bertambah undi popular kaum Bumiputera Sarawak kepada PR, ini memberi persepsi bahawa pengundi Bumiputera sudah berani untuk memberi pilihan kepada pilihan selain BN. Gabungan undi kaum Cina dan Bumiputera Sarawak, dan mungkin juga Bumiputera Sabah, kepada PR telah menggugat kedudukan BN.

 

Tiada kepastian kemenangan

Sukar untuk Najib membubarkan Parlimen bagi mengadakan PRU sekarang. Walau pun berjaya dalam banyak PRK sepanjang 2010, keputusan PRN Sarawak dilihat sebagai mengembalikan kekuatan PR. Di sinilah dilema Najib, bagaimana hendak memastikan yang keadaan politik semasa negara berpihak kepadanya untuk mencapai kemenangan majoriti dua pertiga Parlimen.

Najib semacam cacing kepanasan mencari kemenangan itu untuk peringkat kerajaaan pusat. Kemenangan majoriti dua pertiga ini akan menentu hayat politiknya sebagai PM. Kedudukannya sebagai Presiden UMNO tidak terjamin jika beliau mengulangi nasib Abdullah Badawi pada 2008 lalu. Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan sokongan Mahathir dikatakan sedang bersiap untuk mengantikannya sebagai pemimpin ulung UMNO-BN.

 

Masalah eonomi dan inflasi

Pertimbangan Najib untuk mengadakan PRU ke 13 akan datang juga bergantung kepada beberapa faktor lain. Keadaan ekonomi Malaysia semasa walau pun pada zahirnya digambarkan sebagai berkembang selesa, tersirat beberapa pola songsang yang merisaukan. Ekonomi Amerika Syarikat dan China, dua destinasi terpenting ekspot Malaysia, dijangka bertumbuh pada kadar yang lebih perlahan pada separuh akhir tahun kedua (sebagaimana yang dilaporkan oleh The Guardian, 28 April 2011 dan Bloomberg, 13 Januari 2011).

Kadar inflasi semakin menggunung akibat daripada kenaikan harga minyak petroleum dari harga USD 80 pada 2010 kepada USD 124 pada 1 Mei lalu (US Energy Information Administration (EIA)).

Harga makanan turut melambung naik; contohnya harga daging ayam naik mendadak dari sekitar RM 6 kepada RM 7.80 (Kosmo, 5 Mei 2011 dan Berita Harian, 6 September 2009). Begitu juga harga gula yang naik 20 sen sekilo pada 9 Mei lalu; kenaikan ketiga sejak 16 Julai 2010. Harga petrol juga semakin naik.

Alasan kerajaan BN kononnya subsidi perlu dikurangkan atau dihapuskan untuk menjimatkan wang kerajaan dianggap tidak masuk akal kerana kerana membebankan rakyat; dan rakyat ingin tahu bagaimana "penjimatan" itu akan membantu rakyat. Lagi pun syarikat-syarikat gergasi kroni kerajaan masih diberi subsidi manakala projek e-mel 1Malaysia yang tidak diperlukan rakyat hanya menguntungkan kroni BN.

 

Menutup masalah dalaman BN dengan menyerang PR

Parti-parti yang didominasi oleh UMNO pula seperti MCA, MIC dan Gerakan menghadapi pelbagai masalah dalaman dan luaran. MCA dan Gerakan seperti yang maklum sudah ditolak kaum Cina sementara pimpinan MIC mengalami percakaran dalaman yang tidak kesudahan (Free Malaysia Today, 4 Mei 2011).

PAS yang menjadi seteru tradisi UMNO semakin kuat azamnya untuk kekal dalam PR walau pun diumpan oleh UMNO. Tinjauan rambang pada negeri-negeri kubu kuat BN seperti Johor, Melaka dan Pahang menunjukkan persefahaman dan kerjasama di antara ahli-ahli parti PAS dan DAP semakin erat dan teguh.

Di kala kes perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tuduhan liwat masih belum selesai, timbul pula kes video lucah yang didedahkan oleh sekumpulan pemimpin UMNO untuk memburukkan imej Anwar. Sikap tak acuh polis dalam melaksanakan undang-undang terhadap ketiga-tiga "Datuk T" yang cuba memfitnah Anwar itu serta kenyataan-kenyataan mereka yang tidak konsisten dan berubah-ubah menambah kesangsian orang ramai terhadap kesahihan tuduhan itu.

Fitnah Utusan Malaysia yang beterusan terhadap DAP termasuk membohongi rakyat kononnya ada usaha mahu menjadikan Kristian agama rasmi Malaysia menjadikan rakyat semakin benci dengan UMNO. Orang ramai juga marah dengan sikap beberapa memteri yang percaya kepada laporan Utusan tanpa menyiasat terlebih dahulu pembohongan itu yang dibangkitkan oleh blogger-blogger pro-Mahathir dan pro-UMNO.

 

Kesimpulan

Najib gusar kerana PRU ke-13 yang bakal menyaksikan pertarungan hebat di antara PR dan BN tidak akan memberi laluan mudah kepadanya. Keputusan tidak semestinya kena pada jangkaan para peramal politik kerana wujudnya faktor-faktor "wild card" yang tidak pasti kesudahannya. Begitu juga taktik BN sejak merdeka yang menggunakan jentera kerajaan serta menyalahgunakan kuasa dalam kempen pilihan raya termasuk memberi rasuah politik, semakin ditolak oleh rakyat.

Harapan PR tetap cerah jika majoriti pengundi yang semakin bosan dengan tindak-tanduk UMNO dan BN mempunyai komitmen untuk memilih calon-calon PR. Bagi PR pula, pergeseran dan pertikaian umum perlu dikurangkan untuk meyakinkan rakyat komitmen mereka untuk menang. Paling penting, PR tidak boleh terperangkap dengan taktik kotor UMNO. Rakyat mahu melihat perpaduan di kalangan PR kerana mereka mahu satu gagasan mantap untuk membentuk kerajaan pusat yang baru.


--
You received this message because you are subscribed to the Google Groups "kl-bogel" group.
To post to this group, send email to kl-bogel@googlegroups.com
To subscribe or unsubscribe at http://groups.google.com.my/group/kl-bogel/subscribe
For more options, visit this group at http://groups.google.com/group/kl-bogel?hl=en
Sebarang email pertanyaan, hantar kepada abangmod@gmail.com

No comments:

Post a Comment